KUALA KUBU BAHARU – Seorang pemuda Orang Asli dari Kampung Pertak di sini, tidak melepaskan peluang menggunakan media sosial bagi mempromosikan dan menguar-uarkan kepada orang ramai bahawa di dalam perkampungan itu terdapat kedai membaiki dan menjual peralatan serta barangan ganti motosikal.
Dengan menggunakan TikTok, pemilik Ary Project Motorsports, Muhamad Ary Chapek, 29, memuatkan video pendek bagi mempromosikan video membaiki enjin dan menyelenggara motosikal.
Dia yang juga anak sulung daripada empat beradik itu berkongsi cerita mengenai minat yang mendalam sejak kecil terhadap permotoran hingga mampu membuka sebuah bengkel di kampungnya.
“Habis sahaja Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Baharu, saya terus bekerja di Kilang Proton di Sungai Choh Rawang selama lima tahun.
“Selepas itu saya buka bengkel kecil-kecilan di belakang rumah, baiki motor rakan-rakan dan penduduk sekitar KKB, sedikit demi sedikit kumpul duit, kumpul modal akhirnya tiga tahun lalu (2021) saya buka bengkel sendiri.
“Alhamdulilah dengan ledakan media sosial saya manfaatkan untuk promosi, muat naik video hasil kerja membaiki motosikal, ‘overhaul’ enjin, jadi orang menilai dan melihat di situ, Alhamdullilah bila ramai yang mengenali, ada pelanggan yang perkenalkan kepada kawan mereka dan dapat maklum balas yang positif.
“Ada pelanggan datang sejauh Gopeng, Tanjung Malim, Perak, Cameron Highlands, Bentong Pahang semata mahu saya baiki atau ‘overhaul’ enjin motosikal mereka,” katanya ketika ditemui Scoop semalam.
Ary yang baru mendirikan rumahtangga berkata, dia mendapat pendapatan bersih sekitar RM2,500 setiap bulan hasil perusahaan bengkelnya itu.
Menyedari banyak lagi potensi boleh dimanfaatkan anak muda di KKB yang juga kawasan tarikan pelancongan, Ary berkata, mungkin lebih banyak bantuan boleh disalurkan kerajaan bagi membantu golongan berkenaan.
“Sebagai contoh di Kampung Orang Asli Pertak ini ada kawasan sungai selain aktiviti mendaki gunung di sekitar kawasan ini, ia boleh dikomersialkan sekali gus menjana pendapatan penduduk sekitar.
“Malah penduduk di sini menerusi koperasi sudah memohon untuk membuka gerai, tandas dan bilik persalinan bagi pengunjung yang datang untuk mandi di Sungai Kampung Pertak
“Sekarang dalam proses membangunkan gerai dan tandas, jadi secara tidak langsung nanti ia mampu memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya.
Ary turut memasang impian untuk meluaskan perniagaannya dengan membuka kedai cuci kenderaan sekali gus membuka peluang kerja kepada anak muda lain.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Awie Sogot, 30, berkata, taraf kehidupan penduduk Orang Asli di Kampung Pertak sudah lebih selesa berbanding dahulu hasil keprihatinan kerajaan.
“Taraf hidup meningkat berbanding dahulu, penduduk tinggal di rumah yang lebih selesa, ekonomi penduduk meningkat dan kerajaan tidak lupa untuk sentiasa bantu kami.
“Cuma ada yang masih berpendapatan rendah, ada yang bawah RM1,000, jadi harap bantuan berterusan kerajaan termasuk peluang kerja untuk anak muda, kalau dapat gaji RM1,500 pun sudah cukup baik,” katanya. – 4 Mei, 2024