PRK KKB: Henti hentam peribadi calon, perjuangkan survival semua kaum

Malah, penganalisis berkata, latar belakang pendidikan dan etnik calon tidak seharusnya dijadikan isu untuk membunuh karakter mereka

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir individu, termasuk pemimpin parti politik lawan membangkitkan isu kaum, termasuk mempertikai pendidikan calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang pernah menuntut di sekolah vernakular, boleh memberi impak buruk dan ‘memakan diri’.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, tindakan mempersoal latar belakang calon yang tidak menuntut di sekolah kebangsaan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan, tidak relevan.

Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, tindakan mempersoal latar belakang calon yang tidak menuntut di sekolah kebangsaan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan, tidak relevan – Gambar media sosial, 2 Mei, 2024

Katanya, ia boleh menyebabkan masyarakat bukan Melayu tersinggung dengan pertikaian berkenaan.

“Mempertikaikan isu kaum ini, boleh menyebabkan ‘back fire’ (memakan diri) sebab sebagai contoh apabila pendidikan calon dari sekolah vernakular dipertikai, orang bukan Melayu akan tersinggunglah.

“Benda (sekolah vernakular) itu diterima sebagai sebahagian daripada sistem (pendidikan) kita, jadi bila dibangkitkan benda-benda pasal kaum ini, pihak berkuasa kena pantau, kita bimbang isu 3R dimainkan,” katanya.

Ditanya mengenai situasi kempen parti politik yang seolah-olah gemar menyerang peribadi calon lawan di pilihan raya berkenaan, beliau mengakuinya dengan mengatakan itu sememangnya kecenderungan pihak terbabit, termasuk boleh dilihat di media sosial.

“Kita tengok memang serangan peribadi menguasai peringkat awal kempen (PRK) ini. Sebab itu kalau kita tengok diviralkan isu sekolah dan sijil peperiksaan calon (PH) itu, walaupun keputusan calon ini memang cukup baguslah. Kemudian di sebelah sana (Perikatan Nasional) pun kita tengok dipertikaikan pendidikan calon gabungan ini.

Mazlan turut berkata, pengundi Melayu dari mana-mana parti politik suka benda sentimen, berkait emosi dan peribadi, jadi untuk tarik undi Melayu, kedua-dua parti bertanding guna cara hentam-menghentam kerana ia naratif disukai – Halim Salleh, 2 Mei, 2024

“Saya tengok, masyarakat suka benda macam itu, politik Malaysia ini dia lebih suka perkara bersifat viral, benda menyentuh peribadi macam tu, tapi kalau benda berkait dengan polisi, program, orang kurang minat dengan benda itu.

“Naratif pengundi Melayu dari mana-mana parti politik ini, dia suka benda sentimen, berkait emosi dan peribadi, jadi untuk tarik undi Melayu, kedua-dua parti bertanding guna cara hentam-menghentam sebab memang ia naratif disukai,” katanya.

Mazlan berkata, strategi itu tidak sepatutnya dimainkan pada PRK Kuala Kubu Baharu kerana sepatutnya calon dan parti politik memfokuskan kepada usaha ingin dilakukan untuk pembangunan masyarakat setempat.

“Hakikatnya pengundi Melayu ini dia tidak suka benda serius dalam politik, dia suka benda ‘hiburan’, tetapi bagi saya budaya itu tidak patut dilakukan,” katanya.

Memberikan pandangan senada, penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teras dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Profesor Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, serangan terhadap peribadi adalah perkara sangat tidak baik untuk politik Malaysia dan sepatutnya sudah lama dihentikan serta diubah kepada isu lebih serius, termasuk pembangunan.

Profesor Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, serangan terhadap peribadi adalah perkara sangat tidak baik untuk politik Malaysia dan sepatutnya sudah lama dihentikan serta diubah kepada isu lebih serius, termasuk pembangunan – Gambar media sosial, 2 Mei, 2024

Tegasnya, selagi struktur politik di Malaysia tidak berubah dan menerapkan strategi seperti ketika ini, selagi itu isu membabitkan 3R akan terus menjadi modal parti.

Malah, beliau berkata, strategi itu digunakan di PRK Kuala Kubu Baharu kerana ia mempunyai komposisi etnik dan demografi bercampur antara Melayu serta bukan Melayu.

“Dalam demografi seperti ini, maka isu ataupun modal paling senang untuk dijual adalah modal etnik. Sebab isu inilah yang sebenarnya jadi asas keputusan dalam membuang undi, itu sebabnya kalau kita tengok kat PRK Kuala Kubu Baharu ini, agak sukar untuk tidak berbincang ataupun tidak menjadikan isu ini sebagai modal.

“Dalam konteks etnik ini, kalau orang Cina, apa isu sekitar yang diperlukan kaum ini mestilah mengenai survival mereka di Malaysia. Begitu juga kalau orang Melayu isu utama mereka selain daripada isu ekonomi, orang Melayu akan bincang mengenai survival orang Melayu dan memang agak sukar dalam demografi bercampur untuk kita tidak membincangkan mengenai 3R.

“Sebab itu saya sebut selagi struktur politik kita itu tidak berubah, parti kita tidak akan berubah daripada berasaskan etnik kepada berlandaskan ideologi, maka selagi itu isu 3R menjadi isu di keliling kita,” katanya.

Azmir berkata, selagi parti politik negara ini tidak berubah daripada berasaskan etnik kepada berlandaskan ideologi, maka selagi itu isu 3R menjadi isu di keliling kita – Halim Salleh/Scoop, 2 Mei, 2024

Mengulas lanjut, Azmir berkata, bagi mengelakkan kesan buruk daripada isu etnik, ia bergantung kepada bagaimana ahli politik dan calon mampu mengurusnya dengan baik.

“Jadi saya rasa, cara terbaik boleh digunakan mereka ini adalah jangan kita menggunakan politik menghentam dan membunuh karakter, itu sangat tidak beretikalah.

“Mengurus isu etnik ini, contohnya kalau Bersatu, janganlah ketika berkempen ia hanya bercakap mengenai survival Melayu, cakap juga apa boleh dibantu kepada orang bukan Melayu, maksudnya dia balance (seimbang) antara dua etnik tadi itu.

“Begitu juga calon DAP, janganlah hanya berbicara mengenai survival orang Cina, survival tempat sendiri atau survival parti, tapi bicara juga berhubung bagaimana mahu menyantuni orang Melayu, sekarang perkara itu tak ada, tak nampak,” katanya.

Pada masa sama, Azmir berkata, beliau mengharapkan perubahan lebih menarik digunakan calon dan parti politik yang bertanding tanpa membuat serangan peribadi.

“Saya nak melihat juga bagaimana calon muda ini membawa inspirasi orang muda atau calon lama berpengalaman ini, membawa aspirasi orang lama dan orang muda, itu sangat menarik kalau kita nak perhatikanlah,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu pada 27 April lalu, manakala hari pengundian 11 Mei ini.

PRK itu diadakan selepas kematian Ahli Dewan Undangan Neger (Adun) kawasan berkenaan, Lee Kee Hiong bulan lalu akibat kanser.

Kee Hiong yang juga dari DAP memegang kerusi Kuala Kubu Baharu sejak 2013, dengan menerima pujian atas perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Sock Tao dari Pakatan Harapan (PH); Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin dan Bebas, Nyau Ke Xin. – 2 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related