QSR Holdings sahkan tutup sementara cawangan KFC susulan ‘ekonomi mencabar’

QSR Brands memaklumkan pekerja yang terlibat dengan penutupan sementara itu diberikan peluang untuk ditempatkan di cawangan yang masih beroperasi

11:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – QSR Brands (M) Holdings Bhd dan KFC Malaysia mengesahkan penutupan sementara cawangan terpilih akibat ‘keadaan ekonomi yang mencabar’.

Syarikat itu, bagaimanapun tidak menyatakan jumlah cawangan yang terlibat dengan penutupan sementara itu.

“Susulan tindak balas kepada keadaan ekonomi yang mencabar, QSR Brands dan KFC Malaysia mengambil langkah proaktif untuk menutup sementara cawangan sebagai cara untuk menguruskan kos perniagaan yang semakin meningkat dan memberi tumpuan kepada zon perdagangan yang tinggi,’’ kata QSR Brands dalam satu kenyataan hari ini.

“Menyumbang secara positif kepada masyarakat Malaysia, memelihara kecintaan jenama terhadap KFC dan melindungi pekerja jenama ini semuanya adalah keutamaan kepada organisasi,’’ tambahnya.

Semalam, portal berita berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau mendakwa sehingga 27 April lalu, lebih 100 cawangan KFC di seluruh negara telah digantung operasi.

Laporan berkenaan yang menggunakan maklumat di Google Maps, mendakwa Kelantan paling teruk terjejas dengan 21 cawangan di negeri itu ditutup sementara, diikuti 15 cawangan di Johor.

Dalam pada itu, QSR Brands memaklumkan pekerja yang terlibat dengan penutupan sementara itu diberikan peluang untuk ditempatkan di cawangan yang masih beroperasi, yang merupakan sebahagian daripada strategi untuk mengoptimumkan sumber di tempat yang mempunyai bilangan pelanggan yang tinggi.

“Pekerja dari cawangan yang terjejas ditawarkan peluang untuk ditempatkan semula di tempat yang sibuk, sebagai sebahagian daripada langkah mengoptimumkan semula syarikat.

“Sebagai syarikat yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, tumpuan tetap diberikan kepada menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan sambil menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia menerusi pekerjaan kepada lebih 18,000 orang Malaysia, dengan kira-kira 85% adalah Muslim.

QSR Brands juga adalah antara pembayar cukai terbesar di negara ini dan berbangga kerana dapat memberi semula kepada masyarakat menerusi inisiatif KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami amat percaya rakyat kita akan mengiktiraf kehadiran kami, keikhlasan dan kerja keras dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia.

Memegang francais lebih 850 cawangan KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja, QSR Brands juga merupakan pengendali Pizza Hut di Malaysia dan Singapura, dengan lebih 500 rangkaian restoran. – 29 April, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related