KUALA KUBU BAHARU – Masyarakat Orang Asli di sini diminta tidak keliru dengan hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan lagi menjadi seteru politik.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, berikutan itu, pengundi Orang Asli diingatkan supaya memberi undi kepada calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao.
“Nampak tak saya ini dacing (logo BN), nampak tak (Pakatan) Harapan. Biar saya jelaskan kenapa. Saya dari segi data, orang tak payah tipu bab Orang Asli kerana berbalik dalam sejarah politik negara dari 1957 sampai ke Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), undi Orang Asli undi dacing (BN) tak lari 90 peratus.
“Melainkan PRU-14, berlaku penurunan sokongan undi Orang Asli hampir 76 peratus. Bagaimanapun, pada PRU-15, (sokongan Orang Asli) melonjak balik ke lebih 80 peratus. Kita lihat di situ sebabnya, Orang Asli di Kuala Kubu Baharu kena undi, pangkah PH.
“Tuan puan tahu kenapa? Sebab sekarang BN dengan PH adalah kawan. Kita tak mahu tikam kawan,” katanya di hadapan lebih 300 masyarakat Orang Asli ketika menyertai calon PH menyantuni komuniti itu di Kampung Tun Razak di sini, hari ini.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu juga berharap pada hari mengundi nanti, pengundi Orang Asli tidak lagi keliru mengenai calon mana patut diundi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu.
“PH membantu kita, BN menang di (DUN) Pelangai. Seperti mana Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pernah bercakap, setiakawan itu adalah kena sokong-menyokong dan kena pastikan kestabilan politik.
“Jadi saya berharap suku kaum Temuan di DUN Kuala Kubu Baharu ini, jangan sesekali lupa dan pastikan kesetiaan itu ada dengan memangkah calon PH nombor dua,” katanya.
Sementara itu Sock Tao berkata, beliau akan menjamin kesejahteraan rakyat di KKB, termasuk masyarakat Orang Asli.
“Sebagai calon Kerajaan Perpaduan saya akan menjadi jambatan kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan hak serta kebajikan Orang Asli,” katanya.
Beliau turut memaklumkan akan tinggal secara tetap di Kuala Kubu Baharu sekiranya dipilih sebagai Adun, bagi memahami dan menyelesaikan masalah penduduk di situ.
“Sebelum kempen bermula saya sudah tinggal di sini,” katanya. – 29 April, 2024