Chegubard didakwa atas tuduhan hasut, fitnah rosakkan nama baik Agong

Mahkamah membenarkan Chegubard diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, dan menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula kes

11:33 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghasut dan memfitnah untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Chegubard, 45, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Chegubard didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di mana dia mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan didakwa dilakukan di Istana Negara, jam 6 petang pada 22 Januari lalu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Chegubard juga berdepan tuduhan membuat penerbitan menghasut di Taman Bukit Cheras, di sini, jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Chegubard yang bergari dan memakai set baju Melayu lengkap dikawal ketat polis sebelum dibawa masuk lobi mahkamah pada jam 9.20 pagi.

Dia sempat memberi salam dan mengucapkan selamat Hari Raya kepada pengamal media yang mengambil foto dan videonya.

Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, mengambil kira kesalahan yang dilakukan melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak, selain memaklumkan bahawa jumlah jaminan RM20,000 yang ditawarkan pendakwaan agak tinggi berbanding hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Hasutan (RM5,000).

Mahkamah membenarkan Badrul Hisham diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menolak perintah larangan bersuara yang dipohon pihak pendakwaan, di samping menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Chegubard ditahan dan reman dua hari untuk siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.

“Tangkapan berhubung hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta membabitkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai benteng kritikan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg itu.

Mereka menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaan berkenaan. – 29 April, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-tahun-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Cyberbullying: a deadly trend in Malaysia demanding urgent action – Syerleena Abdul Rashid

With tragic suicides linked to online harassment, there is urgent need for stronger laws, increased penalties to combat this menace effectively

Related