Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia: Anwar tiba di Riyadh

Lawatan ke acara itu, termasuk beberapa aktiviti susulan dijadual dihadiri Anwar sepanjang tiga hari di Riyadh, mampu terus memperkukuh hubungan erat sejak sekian lama antara Malaysia dan Arab Saudi

8:37 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Riyadh, Arab Saudi malam tadi, bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di negara berkenaan.

Beliau dijadualkan berada di Riyadh dalam rangka lawatan tiga hari ke program itu.

Pesawat khas membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pada kira-kira 10.25 malam waktu tempatan.

Anwar turut berkongsi video pendek merakamkan ketibaannya dan delegasi Malaysia tiba, dengan disambut Naib Menteri Luar Arab Saudi, Waleed A. El-Khereiji bersama rakan sejawatnya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut menyambut delegasi Anwar adalah Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Mesyuarat bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan’ itu yang menyaksikan Riyadh menjadi hos penganjurannya akan berlangsung dua hari bermula hari ini.

Dalam kenyataannya, Mohamad berkata, Anwar menerima jemputan peribadi daripada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman untuk menyertai sesi panel bertemakan ‘Wawasan Baharu untuk Pembangunan Global’.

Sesi berkenaan akan disertai bersama-sama pemimpin negara lain semasa pembukaan mesyuarat khas itu.

Malah, Perdana Menteri dijadualkan menyertai Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), bertujuan mengetengahkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean pada 2025, selain menyampaikan ucaptama dalam sesi ini.

Pada masa sama, Anwar akan menghadiri program Dialog Strategi Negara dan dijangka berinteraksi dengan pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang ekonomi boleh dimanfaatkan di Malaysia.

Ketika lawatan ke negara itu juga, Anwar dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin, termasuk rakan sejawatnya dari Jordan, Bisher Hani Al-Khasawneh dan Presiden Rwanda Paul Kagame, selain menyertai ketua negara serta kerajaan pada Majlis Makan Malam Khas dihoskan Putera Mahkota Arab Saudi.

Sementara itu, Anwar berkata, pertemuan dan persidangan itu antara lain akan menyentuh perkara terkait kepentingan negara, bermula dengan sesi Plenari Pembukaan bertemakan Visi Baharu Pembangunan Global pagi ini yang menyaksikannya akan menyampaikan ucapan.

“Doakan kejayaan buat delegasi Malaysia dalam misi meneroka pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu serta berkongsi dasar dan hala tuju negara.

“Di samping mempertegas pendirian negara dalam isu geopolitik serantau di hadapan pemimpin-pemimpin dunia,” katanya. – 28 April, 2024

Topics

 

Hangat

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Sports budget allocation: is popularity winning over performance in 2025 funding?

As RM15 million goes to football and RM20 million to e-sports, critics question whether funding priorities reflect merit or strong networks in Malaysian sports

Related