KUALA KUBU BAHARU – Belum ada keperluan untuk membina sebuah hospital baharu di Kuala Kubu Baharu sebaliknya proses naik taraf akan dilakukan termasuk meningkatkan perkhidmatan serta menambah doktor pakar.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana membina hospital baharu bukan penyelesaianan segera meskipun terdapat keluhan daripada penduduk berikutan ketiadaan pakar di Jabatan Kecemasan hingga terpaksa dirujuk ke Hospital Selayang untuk kes kemalangan.
Beliau berkata, antara penambahbaikan itu termasuk menaik taraf unit kecemasan dengan menempatkan seorang doktor pakar kecemasan bermula bulan depan.
“Kita sudah ada seorang pakar perubatan am di sini (sejak Januari) selain itu kita juga akan menaik taraf unit farmasi dan kawasan parkir awam. Perkara inj akan dilaksana berterusan bukan sahaja di Kuala Kubu Baharu tetapi juga hospital di negeri dan kawasan lain yang berhadapan masalah sama termasuk Hospital Kuala Lumpur.
“Tentunya ada banyak perkara saya perlu perhatikan dan kita telah merancang dengan begitu rapi.
“Namun yang pentingnya adalah meningkatkan perkhidmatan di hospital dan itu adalah cabarannya,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Hospital Kuala Kubu Baharu di sini hari ini.
Beliau berkata, pada masa sama adalah lebih penting untuk memastikan keperluan sumber manusia hospital yang mencukupi.
“Kita boleh mempunyai banyak hospital tapi jika kapasiti sumber manusia sekadar 50%, ini yang akan menjadi cabaran kepada saya,” katanya.
Selain itu beliau berkata, terdapat trend peningkatan pelawat ke Hospital Kuala Kubu Baharu berbanding ketika pandemik lalu.
“Ini bermaksud sudah ada keinginan dan kepercayaan warga di sini yang mahu ataupun bersedia untuk mendapat rawatan daripada hospital ini.
“Selalunya kalau hospital tak ada pakar, dia punya persepsinya adalah orang tak nak pergi ke hospital itu. Tetapi sekarang kita sudah ada pakar dan saya rasa itu antara sebab peningkatan pelawat ke sini dan ini satu isyarat yang baik tanpa perlu pergi ke Hospital Selayang,” katanya. – 26 April, 2024