Anak saya sudah bebas pagi tadi selepas dua hari direman SPRM: MB Perlis

Dalam sidang DUN Perlis di Kangar semalam, Mohd Shukri mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap anaknya berhubung dakwaan pemalsuan dokumen seperti dinyatakan suruhanjaya tersebut

3:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Bebas dah pagi tadi, alhamdulillah”.

Demikian jelas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli kepada Scoop ketika ditanya mengenai perkembangan semasa anaknya yang sebelum ini direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Semalam, tempoh tahanan reman terhadapnya disambung sehari lagi ke hari ini bagi membantu siasatan mengenai dakwaan berkenaan.

Selain anaknya, empat lagi suspek turut direman.

Ketika ditanya mengenai apa yang diperkatakan anaknya selepas dibebaskan, Mohd Shukri berkata, beliau masih belum berkesempatan bertemu dengan anaknya itu.

Sementara itu, Scoop sedang berusaha mendapatkan maklum balas SPRM mengenai pembebasan tersebut.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar semalam, Mohd Shukri berkata, pihaknya mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap anaknya berhubung dakwaan pemalsuan dokumen seperti dinyatakan suruhanjaya terbabit.

Kalau anak saya bersalah, hukumlah dia”.

Demikian tegas beliau ketika menegaskan mengenai siasatan dijalankan SPRM itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang mengakui kelemahannya dalam mentadbir kerajaan negeri ‘adakalanya terlalu baik’ dan percaya kepada semua orang yang diberikan sesuatu tugasan.

Namun katanya, tiada sesiapa pun yang kebal daripada undang-undang termasuk dirinya.

Semalam SPRM menyambung tempoh reman sehari lagi sehingga hari ini terhadap anak Menteri Besar Perlis dan empat lagi suspek yang ditahan berhubung siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Sambungan tempoh reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar selepas tempoh asal reman semua suspek tamat semalam.

Sumber SPRM berkata, seorang daripada enam suspek yang bertugas sebagai pembantu teknik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dipercayai berusia 20-an yang ditahan semalam sudah pun dibebaskan hari ini dengan jaminan SPRM. – 26 April, 2024

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

Sarawak gas feud in the works? Petros takes Petronas to court over licence dispute

RM7.95 mil clash puts both companies at legal odds over gas supply contract 

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Related