PETALING JAYA – Penduduk Taman Medan akan menyerahkan memorandum rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) diteruskan demi kesejahteraan warga setempat.
Wakil penduduk, Mohd Razali Abdullah berkata, memorandum itu akan diserahkan pada Rabu ini susulan keputusan kerajaan membatalkan pembinaan PJD Link seperti diumumkan pada 17 April lalu.
“Kami akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri supaya projek ini diteruskan demi kepentingan penduduk di Taman Medan.
“Kawasan ini (Taman Medan) memang padat dengan penduduk dan jalannya sentiasa sesak pada waktu puncak, lebih-lebih lagi dengan penduduk dari Shah Alam dan Puchong yang turut melalui jalan di sini untuk ke Kuala Lumpur.
“Jadi, kami merayu supaya projek ini diteruskan sebab kami fikirkan jangka panjang. Projek pembangunan rumah makin bertambah, tetapi infrastruktur jalan pula tidak ada, sekali gus menyebabkan kesesakan yang amat teruk,” katanya pada majlis sidang media menuntut kerajaan mengkaji semula keputusan pembatalan PJD Link di sini hari ini.
Penduduk Taman Medan akan menyerahkan memorandum rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) diteruskan demi kesejahteraan warga setempat. pic.twitter.com/EUPqhp2ImN
— Scoop (@Scoopdotmy) April 22, 2024
Menurut Razali, keputusan kerajaan itu dilihat tidak selari dengan majoriti 60% penduduk Petaling Jaya yang mahukan PJD Link diteruskan.
Katanya, berdasarkan hasil kajian yang dilakukan pihak pemaju, masyarakat sekitar mahu ia segera dilaksanakan bagi membendung masalah kesesakan lalu lintas termasuk laluan di hadapan kawasan perumahan penduduk turut dijadikan sebagai jalan pintas oleh orang luar yang menjadi penyumbang kepada permasalahan itu.
“Masalah kesesakan teruk ini bukan baru, dah lama, lebih 10 tahun kami lalui. Sampai bila kami nak berdepan dengan perkara ini?
“Bayangkan, nak hantar anak pergi ke sekolah berdekatan pun makan masa sehingga satu jam untuk ke sana.
“Menerusi hasil tinjauan yang dibuat pihak pemaju, 60% penduduk bersetuju sebab ini merupakan satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah kesesakan ini. Memang tiada jalan alternatif lain lagi. Kami minta perkara ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Pada 17 April lalu, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, keputusan pembatalan projek itu dibuat selepas pemegang konsesinya gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.
Berdasarkan perancangan, lebuh raya terbabit akan menghubungkan bahagian utara dan selatan Petaling Jaya menerusi Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park. – 22 April, 2024