Projek mega dibatalkan, ratusan juta ringgit pampasan terpaksa dibayar

Pampasan yang mencecah hingga ratusan juta ringgit itu antaranya melibatkan proses perundangan dan tuntutan saman

8:00 AM MYT

 


KUALA LUMPUR – Beberapa projek berskala besar yang diluluskan atau dalam proses kelulusan telah dibatalkan sejak beberapa tahun lalu hingga melibatkan jumlah pampasan yang besar. Ini bukan kali pertama wang pembayar cukai terpaksa digunakan bagi membayar pampasan kepada pemaju projek.

Pampasan yang mencecah hingga ratusan juta ringgit itu ada antaranya melibatkan proses perundangan dan tuntutan saman.

Terbaru projek yang dibatalkan adalah projek lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) dengan pampasan yang bakal ditanggung oleh pembayar cukai mungkin mencecah RM20 juta.

Namun jumlah akhir tuntutan itu juga boleh melonjak kepada lebih RM100 juta memandangkan syarikat konsesi projek sudah menanggung kos untuk pelbagai kajian kebolehlaksanaan dan kelulusan sejak 2016.

Berikut beberapa projek mega besar yang dibatalkan oleh kerajaan semenjak 2007.

Projek Gerbang Selatan (2007) kos pampasan: RM222.4 juta

Projek Gerbang Selatan Bersepadu yang mempunyai dua pakej asal iaitu pakej CIQ dan pakej jambatan bengkok dan jambatan kereta api menghubungkan Johor ke Singapura dibatalkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu ketika itu memaklumkan kepada Dewan Rakyat jumlah pampasan yang dibayar oleh kerajaan berikutan keputusan menamatkan pembinaan jambatan bengkok ialah sebanyak RM222.4 juta.

Beliau berkata, harga asal kontrak bagi pakej jambatan bengkok dan jambatan kereta api ialah RM1.113 bilion.

“Bagi membolehkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) beroperasi, kerajaan memutuskan untuk membina jalan sementara menghubungkan Tambak Johor dan kompleks tersebut dengan jumlah RM190.7 juta,” katanya menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) di Dewan Rakyat pada masa itu.

Samy Vellu berkata, tarikh milik tapak bagi kedua-dua pakej ialah pada 1 Januari 2003, tetapi atas keputusan kerajaan, kontrak bagi jambatan bengkok telah ditamatkan pada 12 April 2006.

Projek Skin (2018) kos pampasan: RM231.55 juta

Pada 14 Mac 2024, Awanbiru Technology Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Prestariang Bhd memenangi saman undang-undang terhadap kerajaan ekoran penamatan projek Skin. – Gambar Awantec, 21 April, 2024

Projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (Skin) di bawah Jabatan Imigresen bernilai RM3.5 bilion dibatalkan.

Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pembangunan sistem baharu yang lebih komprehensif, berkesan dan mesra pengguna.

Skin yang dijangka dilaksanakan pada 2021 adalah sistem yang dibangunkan bagi memperkasa sistem kawalan imigresen negara, sekali gus menjaga keselamatan sempadan bagi memenuhi keperluan operasi imigresen masa kini dan hadapan.

Bagaimanapun pada 14 Mac 2024, Awanbiru Technology Bhd (Awantec) yang sebelum ini dikenali sebagai Prestariang Bhd memenangi saman undang-undang terhadap kerajaan berhubung penamatan projek Skin.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Awantec berkata, Mahkamah Tinggi memihak kepada anak syarikat milik penuhnya, Prestariang Skin Sdn Bhd (PSKIN) dan memerintahkan kerajaan membayar jumlah penghakiman RM231.55 juta, serta kos guaman yang ditanggung oleh PSKIN semasa proses litigasi.

Projek ECRL dan TSGP (2018)

Pada Januari, 2019 kerajaan membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), namun setahun kemudian mengumumkan untuk meneruskan projek berkenaan dengan kos jauh lebih rendah. – Gambar ilustrasi MRL, 21 April, 2024

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Jelasnya, keputusan dibuat kerana kerajaan tidak mampu untuk membayar kos projek tersebut.

Malah tegasnya, buat masa ini, Malaysia tidak memerlukan projek seumpama itu.

“Ia merupakan pinjaman wang yang banyak dan pastinya kita tidak mampu meneruskannya serta membayar semula. Kita tidak perlukan projek seumpama itu di Malaysia pada ketika ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata, jumlah hutang yang terpaksa ditanggung kerajaan dalam tempoh 30 tahun akan datang lebih besar berbanding jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada kontraktor projek ECRL sekiranya projek itu diteruskan. Menurutnya, kos pelaksanaan projek ECRL mungkin melebihi RM100 bilion dan ia membebankan kerajaan.

Bagaimanapun pada 2019, kerajaan mengumumkan meneruskan projek ECRL dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.

Jabatan Perdana Menteri berkata, kos pembinaan fasa 1 dan 2 ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Projek PRIMA (2020) kos pampasan: RM172 juta

Tindakan membatalkan 32 projek PR1MA memaksa kerajaan membayar pampasan RM172 juta untuk 17 daripada projek skim perumahan mampu milik itu. – Gambar hiasan PR1MA, 21 April, 2024

Kerajaan membatalkan 32 projek PR1MA dan membelanjakan RM172 juta untuk membayar pampasan bagi 17 daripada projek pembangunan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika itu berkata, baki 15 lagi projek masih dalam rundingan.

“Kita berjaya menurunkan 30% daripada tuntutan,” jawabnya kepada soalan tambahan daripada Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) di Dewan Rakyat pada masa itu.

Projek HSR (2021) kos pampasan: RM320 juta

Malaysia terpaksa membayar RM320 juta kepada Singapura bagi kos yang ditanggung ekoran pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) serta berkaitan dengan lanjutan penangguhannya. – Gambar hiasan MyHSR, 21 April, 2024

Malaysia membayar kira-kira RM320 juta kepada Singapura sebagai pampasan berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika itu dan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung dalam satu kenyataan bersama berkata, jumlah pampasan tersebut dipersetujui kedua-dua negara.

“Bayaran S$102,815,576.00 (RM320,270,519.24) sudah dibuat Kerajaan Malaysia sebagai pampasan terhadap kos ditanggung Kerajaan Singapura dalam pembangunan projek HSR dan berkaitan penangguhan projek berkenaan,’’ kata Mustapa.

Projek PJD Link (2024)

Pembatalan projek lebuh raya PJD Link bukan sahaja mengecewakan majoriti penduduk di Taman Medan, Petaling Jaya, malah mungkin memaksa pembayar cukai membayar pampasan mencecah RM20 juta. – Gambar lakaran PJD Link, 21 April, 2024

Kerajaan membatalkan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Kabinet bersetuju untuk membatalkan projek itu selepas pemajunya gagal memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

“(Wakil daripada) PJD Link telah meminta masa tambahan untuk memenuhi beberapa syarat duluan, tetapi permintaan mereka ditolak oleh kerajaan,’’ katanya.

Bagaimanapun dengan pembatalan itu, pampasan yang bakal ditanggung oleh pembayar cukai mungkin mencecah RM20 juta malah sumber rapat memberitahu Scoop jumlah akhir tuntutan itu juga boleh melonjak kepada lebih RM100 juta.

Ini kerana syarikat konsesi projek berkenaan sudah menanggung kos untuk pelbagai kajian kebolehlaksanaan dan kelulusan sejak 2016.

Pada masa sama majoriti penduduk di Taman Medan, Petaling Jaya memaklumkan mereka menyokong pembinaan PJD Link memandangkan mereka sudah berdepan masalah kesesakan terlampau lama di kawasan itu.

Bercakap kepada Scoop, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, sepatutnya kerajaan membangunkan projek untuk mengatasi masalah itu.

“Keputusan ini (meneruskan projek pembinaan) harus datang daripada kerajaan.

“Majoriti penduduk di Taman Medan menyokong (PJD Link) kerana kami sudah berhadapan dengan masalah kesesakan (jalan raya) ini terlampau lama,” katanya. – 21 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related