KUALA LUMPUR – Seorang jururawat lengkap beruniform ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi dekat Johol, Kuala Pilah, malam tadi.
Berdasarkan video yang tular di platform X, jururawat tersebut tertiarap dengan kasutnya tertanggal, selain enjin kenderaan dipandunya masih hidup.
Kejadian itu bagaimanapun menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk yang menjumpai mangsa.
“Kasut ada, tapi dia buang kasut dia ni. Eh, pelik betullah ni,” kata individu dalam video tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab dilaporkan sebagai berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemukan kira-kira jam 10 malam tadi.
Katanya, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai dirompak pada jam 11 malam.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk diberikan rawatan lanjut,” katanya.
Syahrul Anuar berkata, berdasarkan keterangan awal, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Durian Tunggal, Melaka dari tempat kerja di HTAN memaklumkan tidak rompak sebaliknya hanya dipukul di bahagian kepala.
Malah katanya, siasatan di lokasi mendapati tiada barang peribadi mangsa yang hilang.
“Buat masa ini mangsa sedang dirawat dan kami masih mendapatkan keterangan lanjut daripadanya mengenai kejadian sebenar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya. – 20 April, 2024