[KEMAS KINI] Tun Hanif Omar meninggal dunia

Ketua Polis Negara paling lama berkhidmat pulang ke rahmatullah pada usia 85 tahun

6:17 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Mantan Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 85 tahun.

Berita duka itu disampaikan oleh anak sulungnya, Kapt. Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif melalui hantaran WhatsApp.

“Ingin memaklumkan pemergian pulang ke rahmatullah ayahanda kami yang dikasihi, Tun Haji Mohammed Hanif bin Omar sekitar jam 2.15 pagi tadi, Sabtu 20 April 2024,” katanya.

Jenazah kini berada di kediamannya di Laman Seri dekat Seksyen 13, Shah Alam sehingga jam 10 pagi untuk urusan ziarah.

Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13, Shah Alam untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.

Sebaik selesai urusan tersebut, jenazah dijangka dibawa ke Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Mohammed Hanif merupakan Ketua Polis Negara termuda apabila beliau dilantik pada usia 35 tahun pada tahun 1974 bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang telah dibunuh dalam serangan komunis.

Beliau bersara pada tahun 1994 dan sehingga hari ini merupakan Ketua Polis Negara yang berkhidmat paling lama.

Lahir pada 16 Januari, 1939 di Teluk Intan, Perak, Mohammed Hanif terlibat dalam menangani beberapa insiden keselamatan termasuk krisis tawanan Bangunan AIA pada tahun 1975.

Beliau mengasaskan unit antipengganas Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta menamakan Balai Polis Bluff Road kepada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman.

Selepas bersara, Mohammed Hanif dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan Operasi-operasi PDRM 2004-2005.

Mohammed Hanif kemudian dilantik sebagai ahli panel khas siasatan ke Aminulrasyid Amzah pada 2010, seorang pelajar sekolah yang mati mengejut selepas ditembak mati oleh polis ketika memecut melarikan diri kerana memandu kereta tanpa lesen berhampiran rumahnya di Shah Alam.

Beliau juga merupakan penaung Yayasan Pengaman Malaysia dan pengerusi Panel Siasatan Perhimpunan Bersih 3.0.

Allahyarham meninggalkan isteri, Toh Puan Hamidah Abdul Hamid serta lima orang anak. – 20 April, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related