Suu Kyi dipindahkan dari penjara ke tahanan rumah

Pemenang Nobel berusia 78 tahun itu sedang menjalani hukuman 27 tahun atas pelbagai sabitan jenayah mulai daripada rasuah hingga melanggar peraturan Covid-19

1:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Junta Myanmar memindahkan ikon demokrasi yang dipenjarakan, Aung San Suu Kyi dari penjara ke tahanan rumah.

Pemenang Nobel berusia 78 tahun itu sedang menjalani hukuman 27 tahun atas pelbagai sabitan jenayah mulai daripada rasuah hingga melanggar peraturan Covid-19.

Suu Kyi sebahagian besarnya disembunyikan daripada pandangan sejak tentera menahannya dalam rampasan kuasa 2021, dan pemimpin itu dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

Sumber tentera yang enggan dikenali berkata, Suu Kyi dan bekas presiden Win Myint telah dipindahkan dari penjara ke tahanan rumah.

Junta tentera hari ini turut mengumumkan 3,300 banduan akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada pengampunan biasa untuk menandakan perayaan tahun baharu negara itu.

Tidak jelas sama ada tindakan Suu Kyi itu adalah sementara atau mewakili pengurangan rasmi dalam hukumannya.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun berkata, cuaca panas mendorong pihak berkuasa untuk mengambil langkah melindungi tahanan rentan.

“Bukan sahaja Daw Aung San Suu Kyi dan U Win Myint tetapi juga beberapa banduan tua diberi penjagaan yang sewajarnya kerana cuaca yang sangat panas,” katanya kepada AFP.

Media tempatan melaporkan ketika perbicaraan selama berbulan-bulan, Suu Kyi mengalami pening, muntah dan ada kalanya tidak dapat makan kerana jangkitan pada gigi.

Anak lelakinya Kim Aris memberitahu AFP pada Februari lalu bahawa Suu Kyi masih ditahan di kawasan yang dibina khas tentera Naypyidaw.

Kawasan itu tidak mempunyai pendingin hawa dalam keadaan panas dan sel konkrit bocor ketika musim tengkujuh.

Perkara itu didedahkan ahli ekonomi Australia, Sean Turnell, bekas penasihat kepada kerajaan Suu Kyi yang ditahan di sana selama berbulan-bulan.

Suu Kyi menghabiskan kira-kira 15 tahun di bawah tahanan rumah di rumah besar di tepi tasik era kolonial keluarganya di hab komersial Yangon selepas dia menjadi terkenal ketika demonstrasi besar-besaran menentang junta tentera pada 1988.

Pengampunan banduan hari ini termasuk 13 warga Indonesia dan 15 warga Sri Lanka yang akan dihantar pulang. – 17 April, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related