KUALA LUMPUR – Platform e-dagang terkemuka, Lazada sudah memadam kandungan iklan dan penjualan Kingu Ginseng Candy yang dikesan mengandungi Tadalafil, seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.
Tinjauan Scoop mendapati kandungan iklan gula-gula ginseng itu sudah tidak boleh diakses ketika membuat pencarian berkaitan produk tersebut di platform berkenaan hari ini.
Bukan hanya Lazada, malah platform e-dagang lain juga tidak lagi menjual produk tersebut di laman masing-masing.
Semalam, KKM mengarahkan Lazada untuk menurunkan iklan tersebut selepas produk tersebut mengandungi Tadalafil, sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.
Arahan itu dikeluarkan KKM selepas hasil siasatan pihaknya mendapati label produk tersebut tidak mematuhi kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, iaitu tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar dan empunya hak untuk mengilang serta pengimport.
“KKM mengambil maklum laporan media massa mengenai nasihat dikeluarkan Agensi Makanan Singapura (SFA) terhadap pembelian gula-gula ginseng dari Malaysia, Kingu Ginseng Candy yang dikesan mengandungi Tadalafil.
“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sudah menjalankan siasatan dan saringan awal mendapati, produk ini dijual secara dalam talian di platform Lazada,” katanya.
Terdahulu, Scoop melaporkan SFA menarik balik Kingu Ginseng Candy dari Malaysia, selepas agensi berkenaan mendapati gula-gula itu mengandungi Tadalafil.
SFA berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai platform e-dagang untuk menarik penyenaraian gula-gula itu, selain memberi amaran kepada peruncit supaya berhenti menjual produk berkenaan serta-merta.
Mengulas lanjut KKM berkata, Tadalafil hanya boleh dibekalkan doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi pegawai perubatan.
Penggunaan Tadalafil tanpa pengawasan doktor, katanya, boleh menyebabkan kesan kesihatan serius, iaitu pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya serta kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.
Jelasnya, status keselamatan produk di pasaran, termasuk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual termasuk Tadalafil, sentiasa dipantau dari semasa ke semasa. – 16 April, 2024