Konflik Asia Barat: Malaysia gesa Israel tidak ambil tindakan balas

Perdana Menteri berkata, terdapat tanda jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan lebih buruk berhubung konflik berkenaan

9:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia bersama negara bertamadun lain menggesa supaya rejim Zionis Israel tidak mengambil sebarang tindakan balas terhadap Iran, memandangkan ia akan memburukkan lagi ketegangan di Timur Tengah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat tanda jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan lebih buruk.

“Pelancaran dron-dron oleh Iran adalah tindakan sah berikutan serangan biadab rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.

“Kita berpuas hati dengan jaminan diberi kerajaan Iran bahawa ia tidak akan mengambil apa-apa lagi tindakan, kecuali diserang rejim Zionis Israel,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara bagi mengadakan perbincangan lanjut berhubung situasi tegang di Timur Tengah, mengambil kira perbincangan diadakan semalam.

Mesyuarat diadakan dua hari berturut-turut itu, menunjukkan perhatian serius kerajaan Madani terhadap isu terbabit, selain usaha diambil untuk memastikan Malaysia dan rakyatnya tidak terjejas susulan perkembangan berkenaan.

Anwar berkata, setakat ini, perkembangan konflik itu memberikan kesan kecil kepada negara.

“BSKL (Bursa Saham Kuala Lumpur) dibuka dengan kejatuhan amat kecil yang mencerminkan trend serantau.

“Walau apapun, kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan, kebajikan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.

“Kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama,” katanya.

Menurutnya, kunci penyelesaian kepada isu terbabit ialah penamatan serta-merta yang adil terhadap keadaan tidak berperikemanusiaan melanda Gaza.

“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain.

“Gencatan senjata berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

“Dalam hal ini, sumbangan Malaysia, terbaru (membabitkan) sebanyak 100 kontena dijangka akan berlepas pada 27 April ini,” katanya.

Semalam, Anwar berkata, kerajaan sedang memantau rapat perkembangan ketegangan di Asia Barat dan kedudukan pasaran kewangan negara susulan konflik itu. – 15 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related