Kes tembakan di KLIA: Saya okey, laporan polis sudah dibuat: Isteri suspek

Wanita terbabit dikenali sebagai Farah Cie akan berkongsi kenyataan rasmi berhubung insiden itu dalam masa terdekat

1:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Wanita yang merupakan sasaran sebenar insiden tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi mengesahkan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Bercakap kepada Scoop, wanita yang dikenali sebagai Farah Cie Al Haramain itu berkata, dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan akan membuat kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut dalam masa terdekat.

“Ya, laporan polis sudah dibuat. Saya okay (tiada sebarang kecederaan).

“Apa-apa maklumat lanjut, saya akan maklumkan,” katanya yang juga pemilik syarikat pengendali umrah.

Terdahulu, Farah menerusi perkongsian di Facebooknya turut memaklumkan pengawal peribadinya terkena tembakan yang sebenarnya disasarkan terhadap dirinya.

“Kecemasan ada individu telah melepaskan tembakan kepada pengawal peribadi saya di KLIA.

“Allahuakbar! Laporan polis telah dibuat, kenyataan rasmi akan dibuat!” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam sidang media sebentar tadi mengesahkan pengawal tersebut berada dalam keadaan kritikal selepas tembakan mengenai bahagian perutnya.

“Dia masih lagi dalam keadaan kritikal sebab mengenai bahagian perut.

“Saya dimaklumkan dia di ‘induced’ koma. Jadi bila keadaan dia kembali stabil, pembedahan selanjutnya akan dijalankan ke atas pengawal tersebut,” katanya.

Terdahulu, Scoop melaporkan seorang pengawal peribadi mengalami kecederaan parah selepas terkena tembakan tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek sebenarnya ingin menembak isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di situ sebelum peluru yang dilepaskan terkena individu lain dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu.

Menurutnya, suspek melepaskan tembakan sebanyak dua kali sebelum salah satu peluru terkena seorang pengawal peribadi.

Pihak polis kini sedang giat mengesan suspek berusia 38 tahun itu yang dipercayai melarikan diri ke arah utara tanah air. – 14 April, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Related