Kes tembakan di KLIA: Saksi dakwa ternampak suspek simpan pistol dalam beg sebelum larikan diri

Seorang saksi menyangka bunyi bising tersebut adalah bunyi letupan mercun di terminal berkenaan sebelum menyedari ia sebenarnya bunyi tembakan

11:29 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang saksi berkongsi detik cemas dilaluinya bersama keluarga ketika kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1.30 pagi tadi.

Fazlan Saleng berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan dua anaknya sedang menunggu lif untuk naik ke balai perlepasan.

Menurutnya, pada awalnya dia menyangka bunyi bising tersebut adalah bunyi letupan mercun di terminal berkenaan sebelum menyedari ia sebenarnya bunyi tembakan.

“Benda jadi depan-depan masa tunggu lif nak naik balai pelepasan. Pertama ingatkan orang letup mercun dalam airport (lapangan terbang), tu dah rasa pelik.

“Sekali menembak lagi dua, tiga das. Orang yang berdekatan situ terus bertempiaran lari,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Selepas melihat situasi panik itu, Fazlan berkata, dia menarik tangan isterinya dan membawa dua anaknya untuk bersembunyi.

Ketika itu, katanya, dia sempat melihat wajah seorang lelaki dipercayai suspek yang bertindak melarikan diri dari pintu balai ketibaan sejurus kejadian.

“Sempat tertengok kemungkinan suspek, simpan pistolnya balik dalam beg lepas tu lari keluar dari pintu airport (balai pelepasan).

“Lepas tu, dia boleh masuk balik lalu depan kami siap satu tangan dia dalam beg (mungkin tengah standby (sedia) pegang pistol), sebelum turun bawah ikut eskalator,” katanya.

Ceritanya lagi, dia turut meneliti keadaan sekeliling sebelum beredar kerana bimbang suspek mungkin bersama beberapa individu lain di terminal tersebut.

“Alhamdulillah cousin (sepupu) aku pun memang dah sampai tunggu kat situ. Aku memang dah kalut, bini aku dah pucat, nasib anak aku dua-dua tak nangis.

“Cousin (sepupu) aku pun terkejut bila aku beritahu suruh lari keluar dari kawasan ini takut tembak-menembak ini jadi lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi yang bermalam di KLIA sebelum meneruskan penerbangannya mendakwa turut terdengar bunyi tembakan yang dilepaskan suspek.

“Bermalam di KLIA. Ada bunyi tembakan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan seorang pengawal peribadi mengalami kecederaan parah selepas terkena tembakan dilepaskan seorang lelaki dalam kejadian di Balai Ketibaan KLIA, awal pagi tadi.

Beliau berkata, suspek sebenarnya ingin menembak isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di situ sebelum peluru yang dilepaskan terkena individu lain dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu.

Menurutnya, suspek melepaskan tembakan sebanyak dua kali sebelum salah satu peluru terkena seorang pengawal peribadi.

“Identiti suspek sudah dikenalpasti dan polis sedang giat memburu lelaki terbabit yang dipercayai melarikan diri ke utara tanah air,” katanya. – 14 April, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Petros accuses Petronas of strong-arm tactics in blocking Sarawak’s gas rights

Court documents reveal claims of dominance abuse and interference with the state’s sole gas aggregator role

Related