Singapura tarik balik dua produk campuran segera bak kut teh Samy dari Malaysia

Penarikan itu dibuat selepas produk terbabit didapati mengandungi lebih daripada lima peratus daging babi

10:41 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Singapura sudah mengarahkan penarikan semula dua produk campuran segera, Samy Instant Cooking Bak Kut Teh With Rice yang diimport dari Malaysia kerana didakwa dihasilkan daripada ‘sumber tidak diluluskan’.

Penarikan balik itu membabitkan produk kering dan sup segera yang didapati mengandungi lebih daripada lima peratus daging babi, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) menerusi kenyataan.

“Produk ini mengandungi lebih daripada lima peratus daging babi. Daging dan produk daging yang mengandungi lebih daripada lima peratus daging hanya boleh diimport daripada sumber diakreditasi,” katanya.

Produk campuran kering itu mempunyai berat 350 gram (g), manakala sup seberat 450 g.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, SFA sudah mengarahkan pengimport, Biscotti Trading Pte Ltd dan Boughtnex Pte Ltd menarik balik produk terbabit. Penarikan balik sedang dilakukan,” tambah SFA.

SFA turut menasihatkan mereka yang sudah membeli produk itu supaya tidak memakannya dan jika sudah dimakan serta berasa tidak sihat, pengguna perlu mendapatkan rawatan perubatan.

Mengenai peraturan berhubung akreditasi produk yang diimport dengan lebih daripada lima peratus kandungan daging, SFA memaklumkan ia tidak ditetapkan untuk produk daging lembu yang memerlukan akreditasi tanpa mengira kandungan peratusan.

Produk segera Samy itu dilabel dengan dakwaan bahawa ia adalah ‘bak kut asli terkenal dari Klang’.

Logo jenama ini sama seperti rangkaian restoran bak kut teh popular di Malaysia dinamakan Samy & Min.

Ini adalah produk kedua dari Malaysia yang ditarik balik SFA dalam tempoh sehari, selepas arahan sama dikeluarkan terhadap Kingu Ginseng Candy.

SFA mendapati gula-gula itu mengandungi tadalafil, iaitu ubat preskripsi yang digunakan untuk merawat disfungsi erektil.

Malah, SFA berkata ia sedang bekerjasama dengan pelbagai platform e-dagang untuk menarik penyenaraian gula-gula itu, selain memberi amaran kepada peruncit supaya berhenti menjual produk berkenaan serta-merta.

Tegasnya, tadalafil hanya boleh diberikan di bawah pengawasan perubatan dan penggunaannya secara tidak sesuai, boleh meningkatkan risiko kesan sampingan serius, termasuk serangan jantung, strok, sakit kepala, migrain, degupan jantung tidak teratur dan priapisme (ereksi menyakitkan). – 13 April 2024

Topics

 

Hangat

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Sports budget allocation: is popularity winning over performance in 2025 funding?

As RM15 million goes to football and RM20 million to e-sports, critics question whether funding priorities reflect merit or strong networks in Malaysian sports

Related