KUALA LUMPUR – Semua perkhidmatan CIMB yang mengalami gangguan pagi ini, kembali pulih sepenuhnya.
Menerusi kemas kini perkembangan kes itu di Facebook, CIMB mengesahkan terdahulu gangguan perkhidmatan terbabit berlaku antara 2.45 petang hingga 5 petang semalam.
Gangguan itu membabitkan perkhidmatan CIMB Clicks, CIMB Octo, FPX, MyDebit, Kredit dan Terminal Layan Diri.
Kemudian, semua perkhidmatan itu pulih pada jam 5 petang hari sama.
“Malangnya, gangguan perkhidmatan serupa berulang awal pagi ini, tetapi CIMB Clicks dan CIMB Octo kembali pulih kira-kira jam 10 pagi, manakala semua sistem lain yang terganggu pulih sepenuhnya sebentara tadi.
“CIMB memberi jaminan kepada pelanggan bahawa sistem perbankan teras dan data mereka kekal selamat serta utuh, selain pihak kami komited untuk mengukuhkan daya tahan,” katanya.
Pada masa sama, CIMB memohon maaf atas kesulitan dialami rakyat Malaysia ketika melakukan persiapan untuk meraikan Aidilfitri, malah berterima kasih kepada pelanggan atas pemahaman dan kesabaran mereka.
Jumaat lalu, pengguna Maybank yang sedang membuat urusan membeli-belah barangan keperluan Aidilfitri turut mengalami gangguan perkhidmatan dalam talian bank itu.
Tinjauan dilakukan Scoop mendapati, kebanyakan pengguna tidak dapat mengakses aplikasi Maybank2U dan hanya boleh menggunakan perkhidmatan ATM, manakala segelintir ‘terperangkap’ di permis perniagaan kerana tidak dapat membuat pembayaran untuk barangan kerana gangguan itu.
Perkhidmatan Maybank terjejas itu yang membabitkan aplikasi mudah alih, laman sesawang dan saluran lain, pulih keesokan pagi. – 9 April, 2024