KUALA LUMPUR – Umat Islam diingatkan supaya jangan menimbulkan masalah berhubung penghasilan sesuatu tulisan, sekiranya ia tidak bermaksud mempersenda mereka dan agamanya.
Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, mereka harus memahami bahawa penilaian sepatutnya dibuat menerusi apa benar-benar terzahir pada tulisan, bukan perkara yang bermain dalam fikiran.
“Namun, jika kita dapati ada rencana untuk mempersendakan umat Islam, barulah kita ambil tindakan sewajarnya. Jika tiada, jangan timbulkan masalah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes dirujuk sekumpulan individu di Perlis mengenai penggunaan nama ‘All in’ digunakan sebuah tempat penginapan di negeri berkenaan.
Katanya, kumpulan itu tidak berpuas hati dengan alasan kononnya mereka melihat tulisan terbabit seperti perkataan Allah, apatah pemiliknya bukan muslim.
Mohd Asri berkata, pemilik berkenaan mula bimbang kerana barang di premis mereka sudah banyak dicetak menggunakan tulisan All in.
“Saya bertanya kepada yang membantah dia tulis apa? Jawab mereka All in. Tanya saya jadi apa masalahnya?
“Jawab mereka nampak macam tulisan Allah. Saya kata dia tak tulis Allah, hampa (anda) yang nampak macam Allah. Huruf pun jelas All in, bukan Allah.
“Kita nilai apa yang terzahir pada tulisan tu, bukan apa bermain dalam fikiran,” katanya.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan kes tulisan didakwa menyerupai kalimah Allah, termasuk penjualan stoking tertera perkataan itu di rangkaian kedai serbaneka, sehingga mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan masyarakat termasuk beberapa pemimpin politik.
Kes itu hangat diperkatakan selepas ia ditularkan seorang individu di media sosial sejak 13 Mac lalu, sekali gus menerima liputan dan reaksi meluas pelbagai pihak.
Susulan itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh mencetuskan kempen Boikot KK Mart dan menggesa orang ramai memboikot premis berkenaan, sebagai pengajaran kepada sesiapa yang menyentuh isu sensitif membabitkan 3R (kaum, agama dan institusi raja).
Manakala, semalam tular di media sosial isu penemuan bentuk logo seakan-akan kalimah Allah pada tapak kasut keluaran Vern’s, selepas seorang pengguna mendakwa ia dilihat pada produk itu yang baru dibeli untuk isterinya.
Dr Muhamad Akmal memberi tempoh 24 jam kepada Vern’s untuk membuat penjelasan berhubung dakwaan itu.
Katanya, jika tiada penjelasan dalam tempoh terbabit daripada syarikat itu, tindakan boikot akan digerakkan terhadap produk berkenaan.
Pihak pengurusan Vern’s kemudian tampil memohon maaf kepada semua pihak dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan.
Malah menurutnya, pihak syarikat sama sekali tidak berniat menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan. – 8 April, 2024