Abdur Rahman, Abdullah rindu nasi ayam arwah ibu di pagi raya

Dua beradik itu akan menziarahi kubur ibu, ayah serta empat adik-beradik mereka setiap kali rindu bertandang

4:14 PM MYT

 

MUAR – Kemeriahan menyambut Aidilfitri kini hanya tinggal kenangan buat Abdur Rahman Amir Ruddin, 20, dan adiknya, Abdullah, 16, setelah kehilangan ibu dan bapa serta empat adik-beradik yang lain dalam nahas tragik di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada 1 September lepas.

Abdur Rahman berkata, Ramadan dan Syawal tahun ini cukup berbeza apabila buat pertama kali ia disambut tanpa insan tersayang di sisi, malah dia merindui juadah ‘air tangan’ ibunya yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga untuk dinikmati pada pagi raya iaitu nasi ayam.

Menurutnya masih utuh dalam ingatan bagaimana arwah ibunya, Norahimah Noor Muhamad menghidangkan juadah berkenaan, manakala ayah, Amir Ruddin Ismail serta empat adiknya menikmati nasi ayam istimewa itu dengan penuh gembira.

“Kini semua itu hanya tinggal kenangan, cukup berbeza apabila mereka semua telah tiada. Perkara paling indah dan tidak akan saya lupakan ketika Ramadan ialah berbuka puasa serta menunaikan solat tarawih bersama.

“Nak sedih sangat pun tak boleh…tetapi itulah hakikat yang perlu saya dan Abdullah terima, sudah tujuh bulan tanpa mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman ibu saudaranya di Kampung Parit Lapis Darat, Parit Jawa di sini hari ini.

Menurut Abdur Rahman, dia dan Abdullah akan menziarahi kubur ibu, ayah serta empat adik-beradik mereka setiap kali rindu bertandang, manakala Abdullah tidak putus-putus bercerita tentang ibu mereka tersayang.

“Setelah ketiadaan ibu dan ayah, kami kini menumpang kasih dengan ibu saudara yang merupakan adik ibu, Norahila, 39, bersama suaminya Mohd Hairul Nor Muhammad, 54, dan nenek, Norliah Md Noh, 77.

“Mereka semua menjaga kami dengan penuh kasih sayang dan menjadi tempat bergantung serta mengadu apabila kami berasa rindu kepada ibu dan ayah,” katanya.

Abdur Rahman kini sedang melanjutkan pengajian di Open University (OUM) Batu Pahat serta mengajar secara sambilan di Sekolah Rendah Islam At-Tanwiriah, Parit Jawa, manakala Abdullah merupakan pelajar tahfiz di Sekolah Menengah Agama At-Tanwiriah.

Pada 1 September lalu, pasangan suami isteri Amir Ruddin, 46, dan Noorahimah, 43 serta empat anak mereka Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, meninggal dunia apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka bertembung dengan lori.

Abdullah pula terselamat dalam nahas pada kira-kira 6.30 petang itu dan kritikal sejak hari kemalangan, namun mula menunjukkan perkembangan positif sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat dan kini sihat serta telah kembali bersekolah. – 6 April, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related