KUALA LUMPUR – Gara-gara memiliki rambut panjang melepasi paras bahu dan ‘muka jambu’, seorang lelaki yang melangkah masuk ke pekarangan masjid kelu apabila ditegur wanita yang memintanya menutup aurat.
Menerusi video dikongsikan di TikTok mooi99, kejadian itu dikatakan berlaku di Masjid Negara, baru-baru ini.
Kedengaran suara seorang wanita meminta individu terbabit ke tingkat bawah untuk mengambil jubah dan memakainya, sebelum dia dibenarkan memasuki ruangan dalam masjid.
“Awak kena pakai robe (jubah), awak pergi turun bawah dan pakai robe, awak tak boleh pakai macam ni, terbuka,” kata wanita itu.
Kelihatan terkejut dengan teguran diterimanya, lelaki itu kemudian menjawab ‘saya lelaki’.
“Ya tahu kamu lelaki, kamu kena pakai baju tutup, rambut, topi,” ujar wanita itu.
“Saya lelaki,” ulang pemuda itu dengan wajah keliru.
“Saya tahu tapi tak boleh macam ni,” wanita itu masih memintanya supaya menutup aurat.
“Tak boleh macam ni? Tak faham…,” soal lelaki itu.
“Rambut buka kena ada topi, pakai (sarung) baju kat atas,” terang wanita terbabit.
“Saya bukan perempuan rambut tak payah tutup bukan aurat, lelaki tak perlu tutup rambut,” jelas lelaki itu.
“Aduhai,” jawab wanita berkenaan yang dilihat seperti baru tersedar rupa-rupanya individu disangkanya wanita itu adalah lelaki.
Melalui ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan kisah dikongsikan itu.
“Anda sepatutnya tak perlu anggap teguran itu sebagai memburukkan, makcik tu cuba mengatakan anda cantik,” kata seorang netizen.
“Makcik tu puasa, maafkanlah dia,” tulis SisFar.
“Dekat situ kita nampak, walau dalam keadaan dah nampak salah, tetap dia akan menang kan,” ujar seorang individu.
“Makcik tu kenapa, aku gelabah kejap aku kena tutup rambut lepas ni, takut jumpa makcik ni,” kata netizen lain.
“Aku macam pelik juga, aku ingatkan dia suruh pakai robe sebab brader tu pakai seluar pendek, tapi siap suruh tutup rambut tu aku jadi jammed,” menurut Harley.
“Bang, perempuan tak pernah salah, anggap je ‘aduhai’ tu minta maaf,” gurau Der.
Segelintir netizen turut meminta sambungan video itu untuk mengetahui kisah seterusnya, termasuk reaksi sebenar wanita terbabit selepas mengetahui dia sedang menegur seorang lelaki.
“Bahagian kedua please, saya ingin tahu apa berlaku,” kata mfs.
“Lepas tu apa jadi weh, jangan biarkan saya tertanya-tanya, nak tahu apa jadi dengan makcik tu,” respon liliaaa.
Bagaimanapun, ada netizen memuji wanita terbabit kerana berani menegur individu yang disangkanya melakukan kesalahan.
“Aku still salute (tabik) sama makcik tu memberanikan diri untuk tegur,” kata Jaws. – 5 April, 2024