KUALA LUMPUR – Armada Bersatu mempersoalkan keperluan di sebalik penahanan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh di Sabah untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmal Kamal berkata, tangkapan terhadap Dr Akmal adalah keterlaluan.
Menurutnya, penahanan itu boleh menimbulkan perasaan kurang senang sesetengah pihak tatkala kes berkaitan agama, seperti seorang daripada Ahli Parlimen kerajaan yang didakwa menggunakan ayat suci Al-Quran tetapi individu terbabit tidak ditangkap.
“Armada Bersatu memandang serius berhubung tangkapan pihak polis yang dibuat ke atas Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.
“Apakah keperluan membuat tangkapan terhadap Dr Akmal di Sabah sedangkan beliau sudah pun dijadualkan untuk memberi keterangan di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Dang Wangi, esok?
“Juga kes melibatkan pimpinan parti kerajaan yang terus menerus mengeluarkan kenyataan kontroversi berkaitan agama dan kaum, namun begitu tiada tangkapan dibuat, hanya sekadar siasatan sahaja,” soalnya menerusi kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan apakah pendirian penentang Akta Hasutan, khususnya DAP dalam isu berkenaan apabila Dr Akmal kini disiasat di bawah akta terbabit?
“Mana mungkin panggilan untuk memboikot boleh dianggap melakukan suatu jenayah?” katanya.
Wan Fayhsal berkata, Armada Bersatu menzahirkan simpati dan bersolidariti ke atas Dr Akmal akibat penahanannya itu.
“Sudah tiba masanya keseluruhan akar umbi Pemuda Umno mempertimbangkan kedudukan mereka di dalam gabungan Pemuda dalam Kerajaan Perpaduan, sekiranya tiada keikhlasan dari rakan-rakan komponen lain untuk mempertahankan asas perjuangan agama, bangsa dan tanah air seperti yang sepatutnya.
“Lebih-lebih lagi dalam hal membabitkan kesucian kalimah Allah dan ketinggian Islam,” katanya.
Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau ditahan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pagi ini.
Penahanan itu dimaklumkannya menerusi Facebook, dengan memaklumkan beliau sepatutnya dijadual memberi keterangan di IPD Dang Wangi esok.
Menurut Dr Akmal, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan meminta orang ramai mendoakan urusannya dipermudahkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan dilakukan terhadap Dr Akmal.
Siasatan itu katanya, dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Muktimedia 1998.
Ujarnya, siasatan itu susulan dua laporan polis diterima berkaitan ucapan dan tindakan pemimpin berkenaan berhubung isu stoking terbabit.
Menerusi laporan BH, Dr Akmal turut mempersoalkan keperluan untuk beliau memberi kenyataan di Sabah ekoran laporan polis ke atas dirinya dibuat di Kuala Lumpur.
“Satu laporan polis ke atas diri saya di bawah Akta Hasutan yang dikaitkan dengan video ceramah di Kelantan. Laporan itu di Kuala Lumpur.
“Oleh itu, saya tertanya-tanya kenapa perlu cepat. Tiada langsung laporan dari Sabah. Semuanya berlaku di Semenanjung,” katanya ketika ditemui media di pekarangan IPD Kota Kinabalu selepas lebih dua jam memberi keterangan.
Tegasnya, beliau bersama pasukan Pemuda Umno ke Sabah secara tenang untuk program parti itu dan tidak mengganggu sesiapa.
“Apa yang penting sangat, bukan saya tidak balik. Saya balik dan kita akan bagi komitmen,” katanya. – 5 April, 2024