Duit raya: Satu bentuk rasuah atau hadiah?

Budaya memberi duit raya tidak boleh dianggap mengajar kanak-kanak jenayah memberi atau menerima rasuah yang keji dan amat dibenci di dalam Islam.

11:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Wang yang diberikan kepada kanak-kanak sempena hari raya fitrah (Aidilfitri) atau hari raya korban (Aidiladha) termasuk dalam kategori amalan atau budaya yang baik dan digalakkan dalam Islam.

Bercakap kepada Scoop, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia bertujuan untuk memasukkan kegembiraan di dalam hati kanak-kanak pada hari lebaran.

Namun tegas beliau, budaya sedemikian tidak boleh dianggap mengajar mereka jenayah memberi atau menerima rasuah yang keji dan amat dibenci di dalam Islam.

“Terdapat perbezaan yang nyata di antara hadiah dan rasuah dilihat daripada perspektif Islam sebagaimana yang dihuraikan oleh para fuqaha. Rasuah adalah dilakukan (diberikan kepada seseorang) dengan maksud untuk mendapatkan sesuatu ‘habuan’ secara batil, atau membatalkan sesuatu hak dan seumpamanya daripada tujuan-tujuan yang salah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata pemberian duit raya bertujuan untuk memasukkan kegembiraan di dalam hati kanak-kanak pada hari lebaran – Gambar media sosial, 12 April, 2024

“Tujuan jahat ini sama ada dinyatakan secara jelas oleh pemberi rasuah atau hanya disembunyikan di dalam hatinya, sama ada perasuah mahu mendapatkan apa yang dikehendakinya dengan segera atau pada masa hadapan. Perbuatan keji seperti inilah yang dikutuk atau dilaknat oleh Allah SWT berdasarkan keterangan hadis nabi,” katanya.

Beliau memberitahu, hadiah adalah pemberian sesuatu kepada seseorang secara ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang balasan atau pulangan.

“Ia dimaksudkan untuk memuliakan seseorang yang dikasihi, atau untuk mengeratkan silaturahim, menghargai persehabatan, ketinggian ilmu, kesalihan seseorang atau sebagainya,” katanya.

Tambahnya, di dalam Islam ada pelbagai jenis pemberian, antaranya ada yang halal dan ada yang haram.

Katanya, pemberian yang halal termasuklah sedekah kepada golongan fakir dan miskin, manakala hadiah diberikan kepada golongan kaya atau berada sebagai penghargaan terhadap ilmunya, kebaikannya dan pertimbangan-pertimbangan lain yang ikhlas.

“Kesemua ini dilakukan sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengharapkan pahala daripada-Nya di akhirat nanti,” katanya.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkata, pemberian duit raya kepada kaum keluarga serta jiran yang hadir berkunjung pada 1 Syawal adalah harus – Alif Omar/Scoop, 12 April, 2024

Dalam pada itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, konsep memberi duit raya kepada ibu bapa, kaum kerabat serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam.

Bahkan perbuatan sedekah kepada ibu bapa termasuk di antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada ibu bapa), mengeratkan silaturahim serta pahala bersedekah itu sendiri.

“Demikianlah juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak-saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim,” jelasnya.

Menurutnya, pemberian duit raya kepada kaum keluarga serta jiran yang hadir berkunjung pada 1 Syawal adalah harus.

“Begitupun pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar manakala golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.

“Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat,” katanya.

Isu mengenai pemberian duit raya menjadi polimik ketika ini malah ada netizen yang mendedahkan terdapat ibu bapa yang mengharapkan rakan-rakan memberikan duit raya kepada anak mereka.

Malah, lebih mengejutkan apabila ada ibu bapa yang meminta supaya wang raya untuk anak mereka dimasukkan secara dalam talian dan perkara ini didedahkan oleh netizen di media sosial.

“Rimas dengan kawan-kawan duk (asyik) chat minta duit raya untuk anak. Aku tahulah kerja aku. Stop (berhenti) jual nama anak untuk meminta-minta ni,” kata netizen berkenaan.

Isu pemberian duit raya turut diperkatakan dalam kalangan ahli politik apabila Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh sebelum ini menegaskan tiada kesalahan dalam tindakannya memberi duit raya kepada anggota polis di Jasin kerana ia dilakukan secara terbuka, bukan “senyap-senyap”.

Beliau yang juga Adun Merlimau berkata sumbangan ikhlas itu akan turut diserahkan kepada penjawat awam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah daerah Jasin, minggu depan. – 12 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related