KUALA LUMPUR — Semua pihak diminta menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar menghentikan sebarang polemik berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, titah Agong itu cukup jelas supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan, termasuk menghasut rakyat berhubung isu berkenaan.
“Pandangan saya, titah Tuanku itu sangat jelas, mungkin kecuali kepada mereka yang tak nak titah Agong menjadi jelas (tidak mahu akur akan titah Agong). Kita perlu junjung titah Tuanku terutama dalam kalangan ketua-ketua.
“Saya rasa cukuplah, kita dah nak raya…enough is enough (cukup-cukuplah). Hentikanlah polemik ini, Tuanku sudah bertitah bukan sekali, (tetapi) dua kali.
“Bagi yang beragama Islam dan berbangsa Melayu, kedudukan Agong itu very high level (sangat tinggi kedudukan). Bagi saya mengingkari titah sengaja mentafsirkan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Ziarah Madani 2024 di sini, hari ini.
Fahmi turut berkongsi hasil pertemuannya bersama Agong baru-baru ini dan baginda menitahkan perkara sama kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk kerajaan terus memerangi ancaman rasuah.
Menurutnya, titah itu sama seperti dititahkan baginda kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya boleh sebut Kementerian Komunikasi setelah saya diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, titah Tuanku kepada saya dan juga pihak MCMC adalah serupa titah Tuanku kepada SPRM.
“My honeymoon is over, I have given you the honey now go catch the bees… maka saya menjunjung titah, we will catch the bees,” katanya. – 4 April, 2024