Hasut rakyat isu KK Mart: Aspek penguatkuasaan perlu ditegaskan, disegerakan

Penegasan kerajaan itu senada dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara tersebut termasuk menghasut rakyat

5:44 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Aspek penguatkuasaan perlu ditegaskan atau disegerakan dalam usaha menangani mereka yang cuba menghasut rakyat susulan insiden serangan terhadap tiga kedai serbaneka KK Mart, baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penegasan kerajaan itu senada dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara tersebut termasuk menghasut rakyat.

“Jemaah Menteri senada (bahawa) aspek penguatkuasaan perlu ditegaskan atau disegerakan dan kita juga mengambil maklum serta menjunjung titah Seri Paduka mengenai keperluan untuk menangani mereka yang cuba hasut rakyat,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Fahmi berkata, jemaah menteri senada (bahawa) aspek penguatkuasaan perlu ditegaskan atau disegerakan selain mengambil maklum serta menjunjung titah Seri Paduka mengenai keperluan untuk menangani mereka yang cuba hasut rakyat. – Gambar Riduan Ahmad/Scoop, 3 April, 2024

Ditanya sama ada kerajaan akan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi menangani isu hasutan, Fahmi menegaskan: “(Ia) tidak dibincangkan”.

Tambahnya, Kabinet juga tidak membincangkan insiden serangan terhadap kedai serbaneka KK MArt secara khusus namun mengambil maklum bahawa Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri KK Chai telah diperkenan untuk menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.

“Beliau (KK Chai) juga telah menyembah permohonan ampun kepada Seri Paduka,” katanya.

Dalam pertemuan tersebut, Seri Paduka bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini.

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka kepada Royal Press Office (RPO).

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno, Dr Mohamad Akmal Saleh menegaskan, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi ‘hero’, dipuji atau dipandang hebat dalam perjuangannya yang menggesa KK Mart diboikot berhubung isu kedai serbaneka itu menjual stoking tertera kalimah Allah.

Beliau berkata, kempen boikot diperjuangkannya itu hanya untuk melihat maruah dan kesucian Islam dipelihara. – 3 April, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related