Pengerusi Spanco, Robert Tan mengaku tidak bersalah tipu tawaran tender RM3.9 bilion

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabit bersalah

10:45 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tokoh korporat dan Pengerusi Spanco Sdn Bhd (Spanco), Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu Kementerian Kewangan dalam pemberian kontrak pembekalan, pembaikan dan penyelenggaraan kepada syarikat itu pada 2019.

Mengikut kertas pertuduhan, Hua Choon ‘memperdaya’ kementerian itu untuk memberikan tender berjumlah RM3,966,386,628 pada 27 dan 28 Februari 2019, dengan mendakwa sekurang-kurangnya 30 peratus pemegang saham Spanco adalah Bumiputera.

Pertuduhan dibuat di hadapan hakim Suzana Hussin mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabit bersalah.

Ditanya jurubahasa mahkamah sama ada beliau memahami pertuduhan dan pengakuannya, Hua Choon berkata “saya tidak bersalah’.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat mencadangkan ikat jamin sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin, dengan alasan ia dipersetujui secara bersama peguam bela.

Mahadi turut memohon syarat tambahan termasuk Hua Choon menyerahkan pasport antarabangsa atau diplomatik, selain melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur sebulan sekali.

Katanya, taikun perniagaan itu tidak boleh dibenarkan menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela Datuk Wan Azmir Wan Majid memohon mahkamah mengubah masa kepada sekali setiap tiga bulan, dengan menyatakan bahawa anak guamnya yang berusia 83 tahun bersetuju dengan kebanyakan syarat dan kini mengalami beberapa penyakit.

Penyakit itu termasuk hipertensi, lutut dan sakit belakang yang memerlukan beliau bergantung kepada tongkat untuk bergerak dan melakukan aktiviti seharian.

Hakim Suzana kemudian memerintahkan kekerapannya adalah sekali setiap dua bulan, di samping mengekalkan ikat jamin dan syarat lain seperti dimaklumkan.

Terdahulu, Wan Azmir turut memaklumkan bahawa peguam utama Hua Choon ialah Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Pada 19 Januari lalu, Scoop melaporkan SPRM melancarkan serbuan di kediaman seorang ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ sebagai sebahagian daripada siasatannya, berhubung dakwaan rasuah berkaitan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan.

Sumber memberitahu Scoop bahawa operasi itu adalah kesinambungan daripada siasatan berterusan agensi anti rasuah itu yang bermula Julai tahun lalu.

Pada 31 Januari lalu, dilaporkan beberapa akaun bank peribadi bernilai puluhan juta ringgit milik ahli perniagaan itu, dibekukan SPRM hasil siasatannya berhubung perkara sama. – 3 April 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related