Kutipan sampah di KL meningkat 300 tan sehari sepanjang Ramadan: Alam Flora

Pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat menerusi kenaikan 2,800 tan metrik sampah yang dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari, berbanding 2,500 tan metrik sampah pada hari biasa

3:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) memaklumkan kutipan sisa pepejal di Kuala Lumpur meningkat 300 tan sehari kepada 2,800 tan sepanjang Ramadan berbanding 2,500 tan pada hari biasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adam Saffian Ghazali berkata, makanan yang tidak habis dijual di bazar Ramadan adalah antara penyumbang utama peningkatan kutipan sisa selain plastik dan polisterin iaitu bungkusan makanan.

“Pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat menerusi kenaikan 2,800 tan metrik sampah yang dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari, berbanding 2,500 tan metrik sampah pada hari biasa.

“Juadah yang disediakan berkemungkinan terlampau berlebihan sehingga tidak mampu dihabiskan sehingga akhirnya tong sampah menjadi destinasi terakhir baki sisa makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, bagi ketiga-tiga kawasan konsesi Alam Flora iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang mencatatkan peningkatan kutipan sisa pepejal sebanyak 3,600 tan metrik pada hari ke-20 Ramadan berbanding 2023.

“Menurut statistik dari 2019 hingga 2024, tren peningkatan kutipan sisa pepejal pada bulan Ramadan adalah seperti yang dijangkakan.

“…dan 66 peratus daripada sampah makanan tersebut boleh dielakkan sekiranya orang ramai tahu cara penyimpanan makanan dengan betul serta pembelian secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata, Alam Flora akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tetapi kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam menjaga kebersihan terutamanya di kawasan kediaman masing-masing.

“Sebagai contoh, sampah yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, kertas dan tin aluminium perlulah diasingkan, diletakkan dalam beg plastik serta diikat dengan kemas.

“Letakkan di tepi tong pada hari kutipan untuk barangan kitar semula selaras dengan program pengasingan sisa,” katanya.

Sementara itu, Alam Flora memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan yang bersesuaian boleh diambil. – 2 April, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related