KUALA LUMPUR – Umno Kedah mendakwa hutang lapuk negeri itu bermula di bawah pemerintahan PAS dan bukan ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir.
Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kerajaan PAS sedang memikul hutang RM200 juta milik BN yang mentadbir negeri berkenaan pada 2013 hingga 2015, sebagai tidak benar.
“Sanusi mendakwa di zaman kerajaan BN mentadbir Kedah sekitar 2013 hingga 2015, kerajaan negeri berhutang dengan kerajaan Persekutuan sebanyak RM200 juta untuk membayar gaji pekerja dan kakitangan.
“Ini adalah tidak benar sama sekali! Sanusi memanipulasi fakta untuk mengangkat dirinya dan pimpinan PAS negeri.
“Apa dituduh Sanusi tidak betul. Hutang RM200 juta tersebut adalah geran dari kerajaan Pusat tanpa perlu dibayar balik bagi membantu Kedah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Sanusi mendakwa, prestasi kewangan Kedah ketika ditadbir BN dari 2013 hingga 2015 berada dalam keadaan tenat dan berhutang RM200 juta dengan kerajaan Pusat yang hingga kini masih berterusan dibayar.
Beliau berkata, berbeza dari kerajaan di bawah pentadbiran PAS yanga mana kedudukan kewangan kukuh, malah mendapat sijil yang menyaksikannya ‘berbeza langit dan bumi’ jika dibanding ketika ditadbir BN.
Ketua Umno Bahagian Merbok itu mendakwa Sanusi cuba menyembunyi fakta bahawa kerajaan Kedah merekodkan hutang dengan Kerajaan Persekutuan ketika dia menjadi setiausaha politik kepada Tan Sri Azizan Abdul Razak atau dikenali Ustaz Azizah yang memegang jawatan sebagai Menteri Besar dari 2008 hingga 2013.
“Hakikatnya, pada ketika itu, kerajaan Kedah melalui kepimpinan Allahyarham Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar dan Sanusi sebagai Setiausaha Politik, membuat pinjaman untuk membiayai Kolej Insaniah yang diambil alih PAS yang kini bertukar menjadi UNISHAMS,” katanya.
Beliau turut menegaskan, ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan Persekutuan pada 2018, geran kepada beberapa kerajaan negeri, antaranya Kedah membabitkan RM200 juta, Perak (RM50 juta) dan Kelantan (RM 400 juta) diberikan.
Katanya, ketika Kedah di bawah pentadbiran Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah, prestasi kewangan kerajaan negeri pada tahap sangat baik dan membanggakan.
“Tidak pernah kakitangan syarikat anak negeri mengeluh tidak dibayar gaji selama tujuh bulan, tidak pernah berlaku penangguhan dari syarikat luar negeri untuk melabur ke Kedah, malah tidak pernah kakitangan di siasat dan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM,” katanya.
Shaiful Hazizy berkata, prestasi Sanusi mentadbir negeri pula disifatkan sebagai gagal dan sangat buruk.
“Sehinggakan tiada pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan negeri sempena Aidilfitri. Apa lagi Sanusi hendak banggakan? Saya amat sedih dengan corak politik Sanusi yang mementingkan diri berbanding untuk seluruh rakyat Kedah,” katanya. – 2 April, 2024