Video Love Raya: Sotong ke cacing? Akmal gesa rakyat Malaysia boikot produk Aliff Syukri

Tindakan boikot sebagai pengajaran kepada usahawan terbabit yang langsung tiada sensitiviti, selain tetap menghasilkan video kontroversi walaupun berulang kali memohon maaf

2:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Kalau KK Mart kita boleh boikot, apa lagi produk dia ni,” tegas Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh merujuk kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Beliau membuat kenyataan itu susulan tindakan Aliff Syukri mengeluarkan lagu dan video muzik memaparkan ‘tarian gedik’ sempena Aidilfitri yang dianggapnya sangat keterlaluan serta tiada sensitiviti.

Rakyat, katanya, perlu memboikot produk jualan Aliff Syukri sebagai pengajaran keras kepada usahawan itu bahawa tindakan dilakukannya mencetuskan kemarahan orang ramai, terutama ia dipertontonkan ketika Ramadan.

“Saya baru tengok video Datuk Seri Aliff Syukri nak tahu, nak tengok sama ada sotong ke cacing pun kita tak tahu apa yang tergedik-gedik duduk atas meja menari.

“Setiap tahun ulang perkara sama, langsung tiada perasaan sensitiviti pada rakyat di negara ini.

“Cukup cukup lah, kepada seluruh rakyat Malaysia, saya mohon kalau KK Mart kita boleh boikot kali ini kita kena berikan pengajaran keras kepada Datuk Seri Aliff Syukri,” katanya menerusi rakaman video di Facebook.

Dr Akmal berkata, lebih tidak boleh diterima adalah ia bukan tindakan pertama seumpamanya dilakukan usahawan itu, sebaliknya sudah berulang kali berlaku.

“Malah pada tahun 2022, beliau didakwa di mahkamah dan kes itu masih lagi berjalan hingga ke hari ini atas kesalahan sama, tak akan lah setiap tahun nak buat, nak minta maaf, tak boleh jaga ke sensitiviti umat Islam di kala Ramadan ni.

“Nak keluarkan video, nak keluarkan lagu, keluar, tapi janganlah keluarkan lagu dan video yang sakit hati dan juga sakit mata nak tengok, langsung tak jaga sensitiviti dengan pakaian begitu,” katanya.

Pada masa sama, Dr Akmal turut memohon kementerian berkaitan memadamkan dan menarik semula semua video lagu raya dikeluarkan Aliff Syukri, selain mengenakan tindakan undang-undang ke atas usahawan ‘kontroversi’ itu.

“Ini bukan soal kamu nak jadikan kandungan kreatif ataupun kandungan di luar kotak, ini adalah kandungan yang tak ada otak Datuk Seri Aliff.

“Saya rasa sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengajar erti sebuah penyesalan kepada Datuk Seri Aliff ini dengan kita boikot semua produk dijual beliau.

“Kamu nak lihat kemarahan rakyat Malaysia kan? Sila tunggu produk kamu akan diboikot,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, perkongsian Aliff Syukri mengenai pembikinan video muzik untuk lagu nyanyiannya bertajuk Love Raya sempena Aidilfitri tahun ini, bukan sahaja mengejutkan dan ditempelak ramai, malah dilabel ‘memalukan’.

Menerusi petikan video muzik dikongsikan di media sosial itu, ia memaparkan ‘di sebalik layar’ pembikinannya yang menyaksikan Aliff Syukri berendam di dalam jakuzi dipenuhi buih sabun dengan mengenakan ‘singlet’ dan seperti memakai seluar pendek.

Jakuzi itu turut dikeliling lima penari lelaki berpakaian Baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok dengan perwatakan didakwa lembut.

Aliff Syukri kemudian beraksi menyanyi dengan memegang kepala paip pemanas air mandi sebagai mikrofon.

Aliff Syukri turut akur dengan permintaan ibunya, Rozita Ibrahim apabila menurunkan video kontroversi itu di semua platform media sosialnya. – Gambar tangkap layar, 2 April, 2024

Video berdurasi 1 minit 25 saat itu menerima kecaman, sindiran dan kritikan pengguna media sosial.

Kemudian, video muzik sebenar lagu berkenaan dikeluarkan beberapa hari kemudian kepada umum dengan konsep sama, tetapi menampilkan set ‘prop’ sebenar yang menampilkan Aliff Syukri dan kumpulan penarinya itu, rancak menarik di ruang dilengkap almari serta meja.

Namun, beliau kemudian tampil menerusi video di Instagram untuk memohon maaf mengenai penghasilan video muzik terbabit selepas ditegur ibunya.

Ujarnya, beliau menuruti permintaan ibunya, Rozita Ibrahim dengan memadamkan klip video kontroversi itu di semua platform media sosialnya. – 2 April, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related