Kebangkitan parti hambar: Tengku Zafrul letak jawatan Bendahari Umno Selangor

Tengku Zafrul berkata, keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa perubahan perlu dilaksanakan dengan segera

2:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meletak jawatan sebagai Bendahari Umno Selangor berkuat kuasa hari ini.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, jawatan itu lebih baik diisi individu yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.

“Pendekatan dan prinsip saya mudah, kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan.

“Malah lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih atas lantikan dan kepercayaan ini. Saya akan tetap meneruskan tugasan, peranan sebagai Ketua Umno Bahagian dan Ahli MKT yang dipilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara sebab keputusan itu diambil berikutan perencanaan untuk kebangkitan Umno di Selangor dilihat hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di peringkat pusat.

Katanya, sewaktu dipilih MKT dan dilantik Bendahari Umno Selangor lebih setahun lalu, beliau meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan Umno di Selangor.

“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden Umno dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat.

“Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah. Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat,” katanya.

Beliau berkata, Selangor ialah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak.

“Demografinya yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas.

“Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor – parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan.

“Untuk mengelak hakikat ini, strategi ampuh sepatutnya perlu dirangka dengan ketetapan yang sesuai dengan realiti semasa.

Tengku Zafrul berkata, keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.

“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh.

“Kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah Umno terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat,” katanya. – 1 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

‘Bagi duit hari Jumaat, tiga hari selepas itu diminta pindah’ penduduk Kg Sri Makmur Gombak luah kekecewaan

Penduduk mendakwa hanya diberi duit pampasan RM1,000 pada Jumaat tetapi sudah diusir keluar pada Isnin

Tow truck, tour bus service raise fees after diesel price hike

Some businesses with vehicles not eligible for continued subsidies begin charging more

Related