KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Luqman Abdullah menasihatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu penggunaan istilah ‘bukan Islam’ dan kafir sebagai polemik berpanjangan tanpa mempunyai nilai ilmiah dan adab yang baik.
Malah beliau menegaskan adalah tidak adil untuk terus menghukum dan mengeji berasaskan potongan video yang tular melibatkan seorang menteri tanpa melihat kepada konteks keseluruhan yang dimaksudkan dalam ucapan berkenaan.
Untuk itu beliau menegaskan, masyarakat perlu mengambil sikap berhati-hati dan cuba mendapatkan maklumat yang lebih terperinci sebelum membuat sebarang komen.
Katanya, gelaran kafir merupakan kalimah dalam bahasa Arab dan banyak kali disebut dalam al-Quran serta hadis dengan pelbagai pecahan kata.
“Ia adalah merujuk kepada orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan rasul. Oleh itu penggunaan istilah ini telah termaktub dalam al-Quran dan hadis. Ia adalah istilah yang melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran dan ia tidak berubah penggunaannya.
“Walau bagaimanapun, penggunaan dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam kaedah dakwah,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.
Katanya, di bulan Ramadan yang mulia ini, masyarakat dinasihatkan untuk lebih menumpukan kepada ibadah dan tidak menimbulkan banyak polemik yang berpanjangan yang membawa kepada natijah tidak baik kepada nilai-nilai keharmonian.
“Polemik yang berpanjangan tanpa mempunyai nilai ilmiah dan adab yang baik akan menambahkan lagi kekeliruan dalam masyarakat dan boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan.
“Sikap sindir-menyindir, mengeluarkan kata-kata kesat, tuduh-menuduh dengan menggunakan media sosial tanpa adab tidak menguntungkan umat Islam yang sangat mementingkan perpaduan sebagai kekuatan umat,” katanya.
Beliau menambah, dalam isu melibatkan keagamaan, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak mudah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat dan membuka ruang fitnah.
“Penggunaan istilah-istilah hukum-hakam agama tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan kepentingan tertentu yang tidak berasaskan kepada asas ilmu Islam yang sebenar,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berpandangan isu yang dibangkitkan Fadhlina adalah isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian.
Justeru, katanya, tidak timbul isu melarang daripada menggunakan perkataan kafir yang disebut dalam al-Quran.
“Kami berpandangan ucapan beliau telah disalahfahami di luar konteks yang dimaksudkan.
“Penerangan beliau jelas bahawa pendekatan yang diambil atas dasar mendidik dan mengikis sikap label-melabel, benci-membenci terhadap golongan bukan Muslim di Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, Badlishah menggesa agar polemik tersebut dihentikan kerana ia mengheret umat Islam dalam persengketaan yang berterusan.
Sebaliknya, beliau berkata, umat Islam hendaklah saling menasihati dengan hikmah dan memainkan peranan melaksanakan kewajipan berdakwah kepada golongan bukan Islam di negara ini.
Semalam Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, video tular di media sosial berkaitan isu kafir telah diambil di luar konsensus dan diselewengkan konteks dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta dan kredibiliti beliau.
Fadhlina juga menyifatkan penularan video itu turut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar serta fitnah selain diancam keselamatan.
Menjelaskan mengenai video itu, Fadhlina berkata, video tular itu adalah keratan yang diambil daripada pertemuan tertutup beliau dengan kumpulan tertentu yang telah dirakam dan ditularkan dengan tafsiran di luar konteks untuk mencipta polemik serta bersifat fitnah. – 1 April, 2024