KUALA LUMPUR — Biarpun tidak dapat berkumpul bersama keluarga di kampung halaman sempena Aidilfiti kerana tuntutan kerja dan kekangan kewangan, warga asing tetap bersemangat melakukan persiapan menyambut lebaran di negara ini.
Berkongsi keterujaan dan persiapan meraikan hari istimewa itu bersama Scoop, tukang masak warga Indonesia, Ami Ponidi, 45, berkata, dia tidak mempunyai masalah meraikan Aidilfitri di Malaysia dan bersyukur masih dipanjangkan usia untuk menyambutnya.
“Agak sukar untuk saya membelanjakan wang untuk pulang ke kampung hari raya ini kerana saya baru sahaja memperbaharui permit yang menelan kos RM9,200.
“Wang simpanan saya juga semakin berkurangan kerana kedai makan tempat saya bekerja ditutup sepanjang Ramadan, menyebabkan saya tidak memperoleh gaji sebulan,” katanya yang sudah bekerja di negara ini sejak tujuh tahun lalu.
Pekerja restoran berasal dari Indonesia yang mahu dikenali Yuni, 38, berkata, ini adalah pengalaman pertama dia beraya di Malaysia kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk kos pulang.
“Saya amat rindu untuk pulang ke rumah (kampung), jika ada rezeki untuk pulang semestinya saya akan balik, tetapi saya tak boleh nak buat apa kerana saya bekerja untuk mencari rezeki buat keluarga,
“Saya tiada keluarga dan saudara-mara di sini (Malaysia), jadi saya akan menyambut Aidilfiti bersama kawan-kawan sahaja,” katanya.
Bagi pekerja pencuci kereta, Syukur Husain, 31, dari Myammar, memandangkan tidak pulang ke negara asal pada Aidilfitri, dia mengambil peluang berkunjung ke kediaman rakan-rakan di sekitar ibu kota.
“Saya juga akan turut mengambil kesempatan cuti umum untuk bersiar-siar ke pusat beli-belah,” katanya yang menetap di Cheras.
Manakala, pembantu rumah warga asing, Fatimah Agus, 52, berkata, memandangkan niatnya ke negara ini adalah mencari rezeki demi keluarga, dia terpaksa mencekalkan hati untuk meraikan Syawal di Malaysia.
“Semua wang hasil bekerja dikirimkan kepada anak-anak saya di kampung dan saya akan mengambil sedikit untuk perbelanjaan diri sendiri.
“Jadi pada cuti umum ini memang menjadi kebiasaan saya untuk keluar bersiar-siar di sekitar ibu negara.
“Perancangan saya sekiranya dapat cuti, saya akan berjalan-jalan bersama kawan-kawan ke KLCC,” katanya. – 31 Mac, 2024