Saya sayang awak Adlina, terima kasih atas segalanya…: Luahan rakan mangsa kemalangan Lake Tekapo undang sebak

Arwah disifatkan sebagai insan memiliki sahsiah mulia, baik hati dan tidak pernah memburukkan sesiapa

8:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Luahan dua sahabat baik mangsa kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand, Wan Adlina Alisa mengenai keperibadian ‘indah’ arwah, mengundang sebak.

Meluahkan perasaan terkejut berhubung insiden itu dan menganggap ia sebagai kehilangan besar untuk dirinya, individu menggunakan nama Iya menerusi akaun @alyadayanaaa berkenaan menyifatkan Wan Adlina Alisa sebagai insan berhati murni, lemah lembut, mudah memaafkan, periang dan tidak pernah memburukkan sesiapa.

Walaupun permergian rakannya itu sukar diterima, Iya reda dengan ketentuan Ilahi, tambahan Wan Adlina Alisa dijemput Allah pada bulan cukup mulia, Ramadan.

“Saya sayang awak Wan Adlina Alisa dan akan sentiasa menyayangi awak. Innalillahi wainnailayhirajioon. Masih tidak dapat fikiran saya merangkum apa yang berlaku tetapi kita semua perlu menerima hakikat bahawa awak sudah pergi selama-lamanya. Saya akan berdoa agar kita bertemu lagi di akhirat di mana awak akan menunggu kami dengan senyuman di pipi dan pelukan hangat awak.

“Berehat dengan baik. Ketahuilah bahawa awak tidak pernah membebankan saya. Saya berjanji untuk melawat awak selalu. Semoga awak diberi ganjaran Jannah tertinggi kerana awak benar-benar layak menerimanya.

“Awak seorang insan sangat baik. Tidak pernah sekali pun awak berkata buruk mengenai orang lain. Dunia kehilangan jiwa paling baik dan paling manis yang pernah wujud. Awak akan dirindui selama-lamanya. Bersyukur apabila terfikir awak pergi pada Ramadan yang mulia,” luahnya.

Menerusi perkongsiannya, Iya memohon maaf kepada Wan Adlina Alisa kerana tidak berkesempatan memberitahu bahawa dia terlalu bangga dengan kecemerlangan rakannya itu, sehingga berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara seperti diimpikan.

“Saya sentiasa tahu awak boleh. Saya akan merindui ketawa dan kegembiraan kita bersama. Saya akan merindui awak.

“Walaupun kita jauh selepas ini, tetapi itu tidak bermakna saya akan melupakan awak, awak bersama saya sepanjang masa saya…setiap hari dan saya menikmati setiap daripadanya,” katanya.

Seorang lagi teman baik Wan Adlina Alisa dikenali Khairiah, berkongsi kenangan manisnya bersama arwah, malah menyifatkan rakannya itu pendorong semangatnya untuk meneruskan pengajian di kolej.

Khairiah berkata, dia tidak akan melupakan setiap kebaikan rakannya itu dan sentiasa mengingat jasanya.

Menyifatkan dirinya bertuah mengenali Wan Adlina Alisa sebagai rakan, dia mengganggap arwah sebagai bukti masih wujud insan berhati mulia.

“Saya tidak akan melupakan kehadiran awak. Awak antara sebab saya tidak berputus asa di kolej kerana awak bukti dunia kejam ini masih ada harapan dan sinar.

“Terima kasih tidak terhingga hadir dalam hidup saya, awak akan sentiasa ada dalam doa saya,” katanya.

Terdahulu, dua pelajar Malaysia terkorban manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand hari ini.

Kementerian Luar berkata, kejadian berlaku pada jam 1.45 petang tadi waktu tempatan (8.45 pagi waktu Malaysia).

“Dua orang daripada mangsa dilaporkan terkorban di tempat kejadian, manakala tiga lagi diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga, bagi memastikan pengurusan Kebajikan semua mangsa berjalan dengan lancar.

“Kementerian Luar Negeri dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedia membantu sekiranya pihak waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan. – 31 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related