KUALA LUMPUR – Serangan bom petrol ke atas kedai serbaneka, KK Mart di Kuantan, Pahang hari ini disifatkan perkembangan membimbangkan dan boleh mengakibatkan konflik kaum yang berisiko menjejaskan keamanan, sekiranya tidak ditangani sebaiknya.
Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya insiden itu yang juga serangan bom petrol kedua ke atas cawangan KK Mart.
“Walaupun CEC DAP memahami bahawa isu stoking itu mengguris perasaan umat Islam, apa-apa tindakan seharusnya mengikut lunas undang-undang dan bukannya mengambil jalan keganasan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
CEC DAP memaklumkan, pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa tidak perlu lagi untuk mana-mana pihak terus mengapi-apikan kemarahan secara berterusan, memandangkan tindakan mengikut lunas undang-undang sudah diambil dalam isu stoking tertera kalimah Allah.
Katanya, CEC DAP turut menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyifatkan perbuatan serangan bom petrol sebagai petanda membimbangkan dan perlu diberikan perhatian serius, melalui tindakan tegas agar api perkauman segera dibendung daripada merebak lebih luas.
Justeru, CEC DAP menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh terhadap dua insiden serangan berkenaan supaya pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“CEC DAP juga menyeru semua rakyat Malaysia yang rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni serta keamanan, menolak tindakan kekerasan ini demi tanah air tercinta,” katanya.
Terdahulu, sebuah kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi sejak dua minggu lalu di Sungai Isap, Kuantan diserang dengan ‘molotov cocktail’ pada jam 5.14 pagi tadi.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan berlaku kebakaran kecil di pintu masuk kedai serbaneka terbabit.
Kejadian itu adalah insiden serangan kedua ke atas KK Mart selepas isu stoking tertera kalimah Allah terbabit.
Pada 26 Mac lalu, KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol pada kira-kira 5.35 pagi, namun serangan tidak mengakibatkan kebakaran di premis berkenaan.
Kedua-dua insiden terbabit berlaku selepas kes penjualan stokin tertera kalimah Allah di satu daripada rangkaian KK Mart yang didedahkan seorang individu, sebelum ia tular di media sosial pada 13 Mac lalu.
Pendedahan itu mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan masyarakat, termasuk pemimpin politik kerajaan dan pembangkang, dengan rata-rata mengecam penjualan terbabit.
Manakala segelintir meminta supaya ia tidak diperbesarkan selepas pengurusan kanan KK Mart berulang kali memohon maaf dengan mendakwa ia tidak disengajakan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail mengambil tindakan tegas berhubung isu stoking terbabit bagi mententeramkan keadaan yang semakin tidak terkawal.
“Hari ini satu lagi pasar mini KK Mart diserang dengan bom api di Kuantan Pahang. Ini adalah kejadian kedua selepas insiden pertama serangan terhadap KK Mart di Bidor Perak.
“Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah. Sultan Perak sudah bertitah. Ketua Polis Negara juga sudah bersuara. Mereka semua memberikan nasihat dan panduan supaya ancaman ketegangan kaum serta agama diredakan,” katanya.
Hassan berkata, rakyat sekarang menuntut Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan eksekutif berdasarkan undang-undang agar rakyat selamat, selain Malaysia tidak terjerumus kembali kepada kemusnahan perpecahan kaum dan bangsa.
“Bertindaklah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri segera sekarang sebelum terlambat,” katanya. – 30 Mac, 2024