KUALA LUMPUR – Rumy Al-Qahtani, 27, buat pertama kalinya akan mewakili Arab Saudi dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe, yang akan berlangsung di Mexico, pada 18 September ini.
Penyertaannya itu menarik perhatian ramai dengan gambar-gambar Rumy memenuhi media sosial terutama peminat di Arab Saudi.
Rumy mengikut jejak Lujane Yacoub dari Bahrain, yang mewakili negaranya ke pertandingan Miss Universe tahun lepas, sekali gus menjadi wanita pertama dari negara Teluk yang berbuat demikian.
“Saya berbesar hati untuk menyertai pertandingan Miss Universe 2024. Ini adalah penyertaan pertama Arab Saudi dalam pertandingan ratu cantik ini,’’ katanya dalam hantaran di akaun Instagramnya.
Dia sebelum ini pernah mewakili Arab Saudi dalam pelbagai pertandingan ratu cantik antarabangsa termasuk Miss Asia di Malaysia, Miss Arab Peace dan Miss Europe.
Rumy merupakan seorang pencipta kandungan dan kehadirannya di media sosial mendapat perhatian ramai. Dia mempunyai kira-kira 1 juta pengikut di Instagram.
Selain fasih dalam bahasa Arab, English dan Perancis, Rumy juga berkelulusan Sarjana Muda Sains dalam pergigian. – 29 Mac, 2024