KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta orang ramai agar membantu mereka memburu ‘geng plastik hitam’ iaitu golongan yang ponteng puasa pada bulan Ramadan.
Dalam hantaran yang dimuatnaik di media sosial hari ini, Jakim mahu orang ramai melaporkan kepada mereka atau mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) jika mempunyai maklumat berkaitan aktiviti serta lokasi ‘geng plastik hitam’.
“Individu yang tidak berpuasa tanpa alasan dibenarkan syarak, walaupun makan secara sembunyi, maka perbuatan itu bukan saja menghina Ramadan, bahkan dikira berdosa kerana melanggar perintah Allah SWT.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti atau lokasi ‘geng plastik hitam’ boleh menyalurkannya kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan,” kata Jakim.
Menurut Jakim, sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari di bulan Ramadan tanpa sebarang rukhsah (kelonggaran) yang diizinkan Allah SWT, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.”
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti atau lokasi ‘geng plastik hitam’ boleh menyalurkannya kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan.
— JAKIM (@MyJAKIM) March 29, 2024
Biarpun pelbagai operasi sering dilakukan pihak penguatkuasa agama di seluruh negara terhadap individu yang tidak berpuasa secara sengaja di tempat awam, namun setiap tahun kes ‘geng plastik hitam’ tetap berlaku.
Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah menahan lima individu kerana makan di tempat terbuka serta ponteng puasa pada Ramadan selepas mengenal pasti lebih 10 lokasi tumpuan ‘geng plastik hitam’ di sekitar negeri itu.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) turut mengenal pasti 10 lokasi tumpuan dalam kalangan kaki ponteng puasa di negeri itu sepanjang Ramadan, manakala Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) meningkatkan operasi dengan menggerakkan pasukan penguatkuasa syariah di seluruh negeri terhadap kesalahan tidak berpuasa. – 29 Mac, 2024