Baki stok simpanan air di empat empangan pada paras kritikal: Nadma

Nadma memaklumkan empangan berkenaan ialah Empangan Sembrong Barat di Johor; Empangan Air Hitam di Pulau Pinang dan Empangan BS Padang Saga serta Empangan Malut di Kedah

9:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Empat empangan air di Johor, Pulau Pinang dan Kedah menunjukkan penurunan paras simpanan sumber air mentah pada paras kritikal setakat semalam susulan cuaca panas.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan empangan berkenaan ialah Empangan Sembrong Barat di Johor yang kini merekodkan paras 31.65 peratus; Empangan Air Hitam di Pulau Pinang (35 peratus) dan Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) serta Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah.

NADMA yang memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata stok simpanan air di Empangan Muda, Kedah pula berada pada paras amaran iaitu 41 peratus.

“Tiga empangan lagi menunjukkan stok simpanan air berada pada paras waspada, iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis (56.25 peratus), Empangan Bekok di Johor (68.58 peratus) dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang (69.00 peratus),” menurut NADMA dalam laporan ringkas mengenai status cuaca panas hari ini.

Selain itu, katanya pada 25 Mac, JPS mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi tiga lembangan sungai, iaitu Sungai Muda Kedah, Sungai Kelantan dan Sungai Melaka. 

NADMA memaklumkan keadaan itu mungkin akan menyebabkan masalah gangguan bekalan air di daerah Sik, Kedah; Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan Kota Bharu (Kelantan) serta Alor Gajah (Melaka).

Mengenai status cuaca panas, NADMA berkata cuaca panas tahap 2 (gelombang haba) dicatatkan di Perlis pada 25 hingga 27 Mac; daerah Hulu Perak (Perak) pada 26 dan 27 Mac; daerah Kota Setar dan Pokok Sena (Kedah) pada 27 Mac; dan daerah Beaufort, Sabah pada 25 Mac.

Jabatan Meteorologi sebelum ini menyatakan fasa peralihan monsun dijangka bermula esok dan berterusan sehingga Mei yang menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24. 

Permulaan fasa peralihan monsun, keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April. – 28 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related