Kes budak terjatuh: Kaji semula, audit spesifikasi keselamatan bangunan tinggi

Ahmad Hariza menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak kecil daripada mendekati tingkap dan balkoni tanpa pengawasan orang dewasa

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengkaji semula atau menjalankan audit spesifikasi keselamatan di kuarters dan kediaman secara berkala bagi mengelak berulangnya kes kanak-kanak terjatuh dari bangunan tinggi.

Pensyarah Perumahan dan Persekitaran, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ahmad Hariza Hashim berkata, malah sebelum bangunan berkenaan dibina, spesifikasi tertentu perlu diberi perhatian terutama tentang pemasangan jeriji tingkap dan balkoni di setiap unit kediaman.

Menurut beliau, setiap bangunan tinggi ada peraturan keselamatan yang mesti dipatuhi namun audit keselamatan perlu dijalankan supaya peraturan itu dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Keadaan tingkap dan balkoni yang terdedah membuka ruang risiko terjatuh kerana secara psikologi, anak-anak kecil tertarik mendekati kawasan ‘opening’ sebegitu untuk melihat di luar persekitarannya. – Gambar hiasan Pexels, 27 Mac, 2024

“Bagi kuarters khususnya kuarters kerajaan pula, ia dibina mengikut spesifikasi yang diberikan kementerian berkaitan kepada pihak pemaju. Sehubungan itu pihak kementerian perlu lebih menitikberatkan faktor keselamatan dengan membina jeriji di setiap tingkap dan balkoni.

“Langkah sebegini mungkin dapat mengurangkan risiko kebarangkalian kanak-kanak terjatuh dan juga keselamatan orang dewasa terjamin sebab kadang-kadang ketika kita mengangkat atau menjemur pakaian, badan kita mungkin berada dalam keadaan imbalance (tidak seimbang) yang juga membolehkan risiko untuk terjatuh dari bangunan tinggi,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden kanak-kanak maut atau cedera akibat terjatuh dari bangunan mahupun kediaman tinggi.

Terbaharu, kejadian menyayat hati ini berlaku selepas seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilapor meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 16 kuarters Hospital Sungai Buloh, ketika kesemua ahli keluarganya sedang tidur, Ahad lalu.

Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi dan punca kematian masih dalam siasatan.

Selain itu, Ahmad Hariza menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak kecil daripada mendekati tingkap dan balkoni tanpa pengawasan orang dewasa.

Menurutnya, keadaan tingkap dan balkoni yang terdedah membuka ruang risiko terjatuh kerana secara psikologi, anak-anak kecil tertarik mendekati kawasan ‘opening’ sebegitu untuk melihat di luar persekitarannya.

Susulan itu, ibu bapa harus memastikan tiada capaian mudah untuk kanak-kanak memanjat seperti tidak meletak kerusi, meja atau kabinet almari berhampiran kawasan berisiko tersebut.

“Ibu bapa tidak boleh melepaskan anak-anak dan perlu diberi pemantauan lebih ketat, ketika dalam usia empat, lima tahun mereka memang tengah lasak. Kita mesti pastikan tiada sebarang unsur yang boleh membantu kanak-kanak memanjat, berada berhampiran kawasan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, UPM, Prof. Kulanthayan KC Mani berkata, tiada sebarang keperluan untuk mengubah undang-undang bagi menghukum ibu bapa yang mungkin cuai dalam memantau anak kecil mereka.

Menurutnya, ini kerana insiden sebegitu merupakan kemalangan yang tidak disengajakan dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Saya berpendapat bilangan kes seperti ini tidak tinggi dan tiada keperluan untuk membuat perubahan perundangan sebab saya nampak tidak ada sebarang niat untuk perkara tersebut (membiarkan anak terjatuh dari tempat tinggi).

“Dari segi kesan (psikologi), saya rasa kehilangan anak tersebut sudah lebih menyedihkan, jadi tiada keperluan untuk kerajaan membuat sebarang undang-undang baharu berhubung perkara itu.

“Kita perlu tingkatkan kesedaran kepada ibu bapa dan orang dewasa, agar jangan sesekali membiarkan anak-anak kecil hilang daripada pandangan mereka, lebih-lebih buat mereka yang menetap di kediaman tinggi seperti apartmen dan flat,” katanya. – 27 Mac, 2024

Topics

Hangat

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Buddhist leader urges calm, constructive actions following offensive football fan posts

He acknowledges that posts were unkind, unprofessional, but no plans to lodge additional police reports

Related