KUALA LUMPUR – “Hari-hari tanya ada homework (kerja rumah) atau tak, siapa yang datang ke sekolah sebenarnya? Anak-anak tu ada tak dalam kelas masa cikgu mengajar?”
Demikian luahan seorang guru di sebuah sekolah rendah mengenai sikap ibu bapa yang seolah-olah ‘mengganggu’ guru apabila sering bertanyakan sama ada anak-anak mereka diberikan tugasan kerja rumah atau tidak di dalam grup WhatsApp.
Persoalan itu dilihat oleh guru berkenaan sebagai menjengkelkan kerana ia adalah tanggungjawab anak-anak atau murid menyiapkan kerja rumah dan memaklumkannya kepada ibu bapa masing-masing, bukannya ibu bapa yang ‘menyibuk’ bertanyakan kepada guru mengenainya.
“Maaf tanya, apa ya masalah mak-mak (ibu bapa) yang nak sangat melayan anak-anak tak siap kerja (kerja rumah)? Sepatutnya kita ajarkan anak-anak itu erti tanggungjawab, bukan kita memanjakan mereka.
“Memang jadi tanggungjawab cikgu untuk maklumkan setiap kerja sekolah yang diberi? Bukan tanggungjawab anak-anak untuk fokus dan peka dalam kelas? Kalau Darjah 1 saya boleh faham lagi, ini sudah Darjah 4.
“Tolong ya, grup ini untuk makluman penting berkaitan sekolah, bukan untuk mak-mak mengadu anak tak siap kerja rumah,” katanya seperti dipetik dalam akaun Facebook miliknya.
Guru tersebut menulis, selama 10 tahun bergelar guru, sudah beberapa kali dia ‘sekolahkan’ ibu bapa dalam grup WhatsApp.
“Dari hari ke hari (ibu bapa) bertanyakan mengenai kerja rumah anak di grup WhatsApp. Sekali dua boleh tahan lagi, masuk bahagian dia beritahu anak yang tak siap kerja sekolah, aku dah mula ‘terbakar’.
“Macam mana nak lahirkan anak-anak yang fokus, peka, bertanggungjawab kalau kita jadi ‘Bapak Sazali’? Maaflah, aku tak pukul rata sebab aku percaya masih ramai ibu bapa yang ada ‘common sense’ dan tak memanjakan sampai merosakkan anak sendiri. Tapi, ibu bapa yang terlampau memanjakan anak begini memang patut dicantas daripada awal.
“Aku bukan mengeluh mengenai kerja atau beban guru, tapi aku nak tunjuk bahawa wujud perangai manusia sebegini. Sudahlah minta cikgu maklumkan kerja rumah murid dalam grup, bila cikgu maklumkan, masih separuh kelas juga tak siap kerja rumah.
“Buka semua subjek ada kerja rumah dan kadang-kadang tiada, ibu bapa masih ‘berkicau’ tanya dalam grup,” katanya kecewa.
Katanya, jika ada kerja rumah, ia masih menjadi tanggungjawab anak-anak untuk cakna, bukan tanggungjawab ibu bapa menanyakannya dalam grup WhatsApp. – 27 Mac, 2024