Peguam KK Mart minta orang ramai henti keluar kenyataan

Kenyataan itu dianggap akan memprejudiskan perbicaraan yang adil dan semua pihak harus memberi ruang kepada mahkamah menjalankan prosesnya

3:09 PM MYT

 

SHAH ALAM – Pihak pembelaan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd meminta orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan pendakwaan anak guamnya di Mahkamah Sesyen hari ini, berhubung kes penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Peguam, Datuk David Gurupatham berkata, kenyataan itu akan memprejudiskan perbicaraan yang adil.

“Oleh kerana perkara ini sudah dibawa ke mahkamah, kami berharap pihak berkaitan dan orang ramai di luar sana tidak membuat sebarang kenyataan lanjut.

“Beri ruang kepada mahkamah menegakkan keadilan,” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Terdahulu, tujuh pihak, termasuk KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd dan Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga pembekal stoking tertera kalimah Allah kepada rangkaian kedai serbaneka itu, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

Selain dua syarikat berkenaan, pendakwaan dikenakan ke atas Pengasas, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57, dan isterinya yang juga pengarah syarikat sama, Datin Seri Loh Siew Mui, 53.

Turut didakwa adalah Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd, iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62 dan anak mereka, Soh Hui San, 36.

Lima individu berkenaan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, Kee Kan dan Siew Mui didakwa sengaja berniat melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd di Jalan PJS 11/7, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.

Chin Huat, Li Huay dan Hui San pula berdepan pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan berkenaan di tempat, tarikh serta masa sama.

Sementara itu, seorang lagi peguam bela KK Super Mart, Datuk Rajpal Singh menyifatkan gesaan untuk tidak memberi kenyataan mengenai kes itu sebagai penting.

“Biar mahkamah membuat keputusan. Polis sudah menjalankan tugasnya dan pendakwaan membuat keputusan untuk mendakwa mengikut Seksyen 298 KK.

“Biar proses pengadilan berjalan dan semua orang perlu membiarkan mahkamah menjalankan prosesnya,” katanya. – 26 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

RM13 bil Penang Mutiara Line LRT to boost connectivity, set for 2031 completion

The 29.5-kilometre line with 21 stations aims to enhance travel across Penang and drive economic growth

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Related