KUALA LUMPUR – Garis panduan terperinci mengenai permohonan pemeriksaan berkala kenderaan motor, boleh diketahui bermula 15 April depan menerusi laman sesawang Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, garis panduan itu mengandungi semua syarat perkhidmatan, seperti prosedur pemeriksaan, peralatan pemeriksaan, syarat pengoperasian pusat pemeriksaan, perjanjian tahap perkhidmatan dan peraturan berkaitan.
Katanya, garis panduan itu juga menetapkan tawaran pembukaan pusat pemeriksaan berkala kenderaan motor kepada syarikat syarikat swasta, akan ditentukan Kementerian Pengangkutan.
“Setiap tawaran mempunyai dua lokasi, merangkumi satu kawasan bandar dan satu kawasan luar bandar. Pemohon akan diwajibkan membangunkan dan mengoperasikan kedua-dua lokasi secara serentak.
“Bagi kawasan padat penduduk terutamanya Selangor, kita mungkin akan benarkan pusat pemeriksaan ini di lebih daripada satu lokasi, tetapi ia mesti sepadan dengan lokasi luar bandar.
“Kita tidak mahu nanti hanya ada minat di kawasan ramai penduduk ataupun banyak kenderaan sahaja. Kalau kita hanya tawarkan lokasi padat penduduk, semua syarikat hanya nak lokasi padat penduduk sebab kemungkinan untuk dapat keuntungan itu lebih tinggi, tapi kena ada juga cawangannya di lokasi kurang kepadatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan menetapkan modal berbayar syarikat berjumlah RM10 juta dengan modal pusingan RM5 juta setahun untuk menjaga kemampanan perniagaan.
Menurutnya, pihak berkelayakan, memenuhi syarat dan kompeten akan diberikan kuasa serta lesen untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta 333, dengan ia dikawal selia berpandukan syarat ditentukan.
Anthony berkata, kementeriannya dan JPJ akan memberi kelulusan interim kepada mana-mana pihak yang dinilai berkelayakan dan akan diperuntukkan sehingga 24 bulan bagi tempoh persiapan dan pembangunan.
“Syarikat yang berjaya melengkapkan semua proses pembangunan dan disahkan, akan diberi lesen menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor untuk tempoh maksimum 10 tahun serta mampu menyambung operasi selepas tempoh terbabit,” katanya.
Pada masa sama, Anthony berkata, pemegang lesen hanya dibenarkan menjalankan skop pemeriksaan diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) tanpa menawarkan perkhidmatan pembaikan kenderaan motor, pengubahsuaian, penjualan alat ganti, penjualan kenderaan atau sebarang transaksi berkaitan untuk menjaga integriti.
Ujarnya, semua syarat ditetapkan itu, bertujuan memastikan tahap integriti pemeriksaan, teratur dan berkualiti demi menjamin keselamatan kenderaan serta peraturan jalan raya.”
Pihak didapati gagal mematuhi syarat terbabit, katanya, akan dikenakan penalti dan boleh digantung atau dibatalkan lesen diberikan.
“Pemegangnya juga dikenakan bayaran fi bagi setiap lesen dikeluarkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sesi taklimat mengenai syarat pelesenan dijadualkan pada 23 April depan, manakala permohonan berkaitan tawaran itu boleh dikemukakan kepada JPJ mulai 1 Jun 2024.
Pada 24 Mac 2023, Anthony mengumumkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak akan memonopoli perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor selepas konsesinya tamat 31 Ogos depan.
Keputusan mengenai perkara itu, katanya, dibuat ketika mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Mac 2023.
Justeru, Kementerian Pengangkutan menawarkan peluang kepada mana-mana pihak berkelayakan dan memenuhi syarat untuk menjadi penyedia perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor. – 26 Mac 2024