KK Supermart saman pembekal stoking RM30 juta kerana kerosakan jenama, pembatalan penyenaraian IPO

Mereka menamakan Xin Jian Chang dan pengarahnya, Soh Chin Huat sebagai defendan dalam saman itu

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – KK Supermart & Superstore Sdn Bhd memfailkan saman terhadap syarikat pengedar, Xin Jian Chang Sdn Bhd sebanyak RM30 juta kerana didakwa mensabotaj perniagaan rangkaian kedai serbaneka itu dengan membekalkan stoking tertera kalimah Allah untuk dijual.

Peguam KK Supermart, Datuk David Gurupatham ketika dihubungi Scoop mengesahkan saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Menurut pernyataan tuntutan KK Supermart, ia menamakan Xin Jian Chang dan pengarahnya, Soh Chin Huat sebagai defendan dalam saman itu.

KK Supermart juga mendakwa defendan telah mengabaikan tugas mereka dan melanggar kontrak yang ditetapkan.

Selain pengisytiharan mahkamah bahawa defendan telah mengganggu perniagaannya yang sah, KK Supermart juga memohon injunksi larangan untuk menghalang defendan daripada terus menyebabkan kerugian dan kerosakan kepada plaintif.

KK Supermart juga menuntut daripada defendan RM10.5 juta sebagai ganti rugi disebabkan kerosakan nama jenama dan muhibahnya di pasaran; RM20.3 juta lagi disebabkan oleh cadangan penyenaraian (IPO) yang dibatalkan di bursa saham, kerosakan yang lebih teruk untuk dinilai oleh mahkamah serta ganti rugi punitif dan teladan.

KK Supermart juga mahu mahkamah menilai kerugian sebenar bagi kehilangan keuntungan daripada purata jualan perniagaannya sebanyak RM1.5 juta seminggu.

Dokumen mahkamah merujuk kepada perjanjian pembekalan bertarikh 1 Disember 2021 dan disaksikan oleh Chin Huat yang mana KK Supermart bersetuju dengan permintaan Xin Jian Chang untuk menjual barangan secara konsainan di cawangan kedai terbabit.

Perjanjian itu juga menggariskan bahawa barangan tersebut akan diletakkan oleh Xin Jian Chang di premis KK Supermart tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

“Defendan berdasarkan perjanjian pembekalan tersebut bukan sahaja mempunyai kewajipan kontrak kepada plaintif untuk memastikan barang-barang yang dibekalkan di bawah perjanjan tersebut adalah mengikut terma perjanjian tersebut tetapi juga sah dari segi undang-undang di bawah Sales of Goods Act 1957 (Act 382).

KK Mart mendakwa, walaupun ia dengan niat baik membenarkan Xin Jian Chang meletakkan penutup tangan di premisnya berikutan permohonan oleh plaintif pada 5 Februari tahun ini, ia tidak memberi kebenaran untuk konsainan ini dengan kod bar yang sepadan digunakan sebagai paparan atau penjualan stoking dalam apa jua bentuk.

“Defendan secara cuai atau melulu menjual stoking yang mengandungi kalimah ‘Allah’ tanpa pengetahuan atau persetujuan plaintif di premis plaintif di Bandar Sunway, yang menyalahi undang-undang.

“Defendan juga tidak pernah atau sama sekali memaklumkan atau memberitahu plaintif melalui perihalan atau sebaliknya bahawa kod bar akan digunakan untuk dijual di premis plaintif, stoking dengan keterangan ‘Allah’ dan/atau ‘Kalimah Allah’.

“Plaintif pastinya tidak akan membenarkan kerana ia akan melanggar perjanjian pembekalan tersebut dan undang- undang. Defendan secara cuai dan/atau secara melulu membenarkan stokin itu diletakkan di outlet plaintif di Bandar Sunway sehingga menyebabkan kerugian kepada plaintif,” katanya.

Ia juga berkata bahawa defendan sedar bahawa pada 5 Februari, dua daripada tiga kakitangan di cawangannya di Bandar Sunway tidak hadir bekerja dan hanya ada seorang pekerja di kaunter juruwang.

“Defendan sedar sepenuhnya bahawa mereka akan meletakkan barang-barang tersebut di rak stor premis tersebut tanpa pengawasan dari kakitangan plaintif.

“Di bawah keadaan di atas, plaintif tidak boleh menyelia dengan munasabah penempatan stoking atau memeriksa barang tersebut.

Ia juga mendakwa, perbuatan sabotaj itu membawa kepada pemboikotan awam ke atas kedai plaintif di seluruh negara, mesej kebencian, komen sosial negatif dan siaran oleh ratusan orang.

“Ini menyebabkan plaintif tidak dapat menjalankan perniagaan secara munasabah di Malaysia dan mengalami kemudaratan, kerugian dan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan.

Semalam Scoop melaporkan, dua pengarah rangkaian KK Mart dan tiga pengarah syarikat pengedarnya, Xin Jian Chang Sdn Bhd akan didakwa berkaitan penjualan stoking yang memaparkan kalimah Allah di Mahkamah Sesyen Jenayah, Shah Alam pagi ini. – 26 Mac, 2024

Topics

Hangat

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Zhijie’s tragic death underscores crucial BAM-IJN partnership for athlete health

Incident a 'wake-up call' for importance of comprehensive health checks among athletes, medical assessments should be mandatory across all national sports associations, says BAM president

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Related