KUALA LUMPUR – Dua pengarah rangkaian kedai serbaneka KK Mart dan tiga pengarah syarikat pembekalnya, Xin Jian Chang Sdn Bhd akan didakwa esok berkaitan penjualan stoking yang memaparkan kalimah Allah.
Kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah, Shah Alam pada jam 9 pagi esok.
Sumber memaklumkan, kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana melukakan perasaan agama orang lain dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.
Pertuduhan esok susulan dua individu didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas menyiarkan kandungan media sosial yang tidak sensitif berkaitan isu stoking memaparkan kalimah Allah.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan polis menerima 178 laporan di seluruh negara berhubung isu stoking tersebut, katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KDN di Dewan Negara hari ini.
Pada 22 Mac lalu, seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur kerana membuat hantaran menghina agama Islam berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di Facebook miliknya.
Sehari sebelum itu, Ricky Shane Cagampang, 33, dari Tawau, Sabah dipenjara enam bulan dan denda RM15,000 selepas mengaku bersalah memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah di laman Facebook.
Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.
Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan berkenaan.
Dalam masa yang sama, syarikat itu juga akan memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut. – 25 Mac, 2024