KUALA LUMPUR – Pengurusan sekolah perlu melakukan tapisan lebih ketat untuk kemasukan pelajar ke asrama agar insiden jenayah, termasuk buli sehingga mengakibatkan kematian tidak berulang.
Bercakap kepada Scoop, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, selain kelayakan akademik, penilaian pelajar dari segi disiplin dan sahsiah diri harus dititikberatkan ketika menjalankan proses saringan kemasukan ke institusi pendidikan berkenaan.
“Pihak sekolah selepas ini kena beri lebih perhatian terhadap SOP (prosedur operasi standard) kemasukan pelajar. Walaupun mungkin akademik dia bagus, tapi kelakuan dan disiplin mungkin tidak berapa bagus.
“Perkara ini perlu dikaji termasuk melihat rekod dari sekolah lama pelajar, agar ia boleh bantu mencegah mereka daripada melakukan keganasan ketika dia asrama,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pihak sekolah juga perlu menilai semula ‘aktiviti pelajar’ ketika minggu orientasi dan suai kenal kerana ia sering menyaksikan berlaku tindakan membuli, terutama ke atas junior.
“Memang dari dahulu lagi, budaya ini (buli) dah wujud namun mungkin suasana pelajar zaman dahulu ketika itu tidak menyebabkan kecederaan atau kematian.
“Pihak sekolah dah boleh kaji semula minggu suai kenal agar ia tidak lagi dikaitkan dengan mana-mana aktiviti pembulian, seterusnya budaya keganasan dan kekasaran di sekolah tidak merebak dalam kalangan pelajar,” katanya.
Pada masa sama, Shahul Hamid menasihatkan pihak sekolah tidak meremehkan aduan daripada pelajar mengenai sesuatu isu atau masalah, sebaliknya mengambil berat perkara itu.
Ujarnya, ia bagi memastikan pelajar mereka tidak melakukan tindakan sendiri, termasuk buli secara ganas sehingga mengakibatkan kematian sekiranya berlaku sesuatu kes, contohnya kecurian atau kehilangan barangan.
“Saya beri contoh, jika pihak sekolah pantas tangani sebarang aduan pelajar berkaitan insiden buli atau kecurian, seperti lapor polis dan sebagainya, ia beri isyarat jelas kepada pelajar yang sekolah tidak akan berkompromi dengan kejadian jenayah.
“Tetapi ini tidak berlaku di kebanyakan sekolah disebabkan pengetua kebiasannya cuba bertindak untuk menutup sebarang kejadian demi menjaga imej dan nama baik sekolah,” katanya.
Shahul Hamid menegaskan ibu bapa perlu sentiasa mengambil tahu mengenai anak masing-masing yang belajar di asrama, bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan kegiatan tidak bermoral, lebih-lebih melibatkan jenayah berat.
Terdahulu, Scoop melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai, dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di asrama sebuah Kolej Vokasional (KV) di Lahad Datu, Sabah, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa, Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, diserang dan dibelasah selepas dia dituduh mencuri wang berjumlah RM35 dan RM50 daripada dua pelajar.
Rohan Shah memaklumkan, siasatan kes itu masih diteruskan dan Mahkamah Lahad Datu membenarkan tahanan reman enam hari bermula 23 hingga 29 Mac ini ke atas 13 suspek berusia antara 16 hingga 19 tahun.
Sementara itu, bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan berpandangan, walau apapun punca serangan itu, ia bukan alasan untuk suspek mengambil tindakan kurang bijak sehingga membawa kepada kematian rakan sendiri, sekali gus akhirnya memperjudikan dan ‘meragut’ masa depan masing-masing.
Tegasnya, sekolah perlu lebih peka dan memberi perhatian kepada aktiviti berkumpulan pelajar, terutama yang boleh menyebabkan kegiatan tidak sihat.
“Mesti ada penyebab (kejadian buli) dan bila mereka dah ramai-ramai, itu yang membawa kepada situasi seperti itu (pukul beramai-ramai sehingga mangsa meninggal dunia),” katanya.
Amidon berkata, pelajar sepatutnya melaporkan kepada warden sekiranya berlaku masalah dan bukannya mengambil sebarang tindakan sendiri atau sesuka hati.
“Jangan pihak sekolah buat tidak tahu sahaja (sekiranya pelajar melaporkan sebarang masalah dihadapi di asrama). Saya bukan bercakap mengenai kes (Mohammad Nazmie Aizzat) ini sahaja, malah secara umum.
“Saya tidak nafikan budak zaman sekarang lain, jika hendak dibanding pelajar zaman dahulu, ada juga kes buli tetapi tidak sampai berbunuhan,” katanya. – 25 Mac, 2024