Jemaah tidak rapat saf satu kejahilan yang merugikan: Mufti

Seruan merapatkan dan menyamakan saf adalah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berbuat demikian setiap kali baginda mengimamkan solat

10:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Kedudukan saf jemaah yang tidak dirapatkan dan tidak disamakan ketika menunaikan solat berjemaah adalah contoh satu kejahilan yang merugikan.

Bercakap kepada Scoop, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, saf yang betul amat dituntut di dalam solat berjemaah sama ada solat fardu atau sunat.

Beliau berkata, kejahilan sering merugikan, oleh itu Islam amat menggalakkan umatnya menuntut ilmu yang berterusan sehingga ke liang lahad.

Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, saf yang betul amat dituntut di dalam solat berjemaah sama ada solat fardu atau sunat – Gambar internet, 23 Mac, 2024

“Dengan ilmu seseorang akan hidup bahagia di dunia dan akhirat. Di sudut akidah, seorang Muslim dikehendaki mempercayai rukun iman yang enam berserta dalilnya sekali walaupun secara umum.

“Contohnya dalil kepada wujudnya Allah SWT ialah baharunya alam. Manakala di sudut ibadat pula seseorang perlu mengetahui syarat dan rukun-rukun solat, puasa dan seterusnya, juga apa yang membatalkan ibadah.

“Contoh kejahilan yang merugikan antara lain adalah kedudukan saf yang tidak sama ketika menunaikan solat berjemaah, sedangkan saf yang betul amat dituntut di dalam solat berjemaah sama ada fardu atau sunat,” katanya.

Beliau berkata, setiap kali hendak memulakan solat berjemaah, imam sering menyeru makmum supaya menyamakan saf serta merapatkannya.

“Seruan ini memerlukan kepada telinga yang mendengar dan hati yang patuh. Seruan ini adalah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berbuat demikian setiap kali baginda mengimamkan solat,” katanya.

Setiap kali hendak memulakan solat berjemaah, imam sering menyeru makmum supaya menyamakan saf serta merapatkannya – Abdul Razak Latif/Scoop, 23 Mac, 2024

Wan Salim berkata, terdapat beberapa hadis yang memerintahkan umat Islam menyamakan saf ketika solat berjemaah.

“Justeru ada ulama yang berpandangan bahawa menyamakan saf dan merapatkannya adalah wajib. Tetapi jumhur atau majoriti ulama berpendapat bahawa tindakan ini hanya sunat manakala meninggalkannya adalah makruh.

“Ini adalah kerana dalam hadis dinyatakan bahawa saf yang sama adalah termasuk di dalam kesempurnaan solat tetapi tidak membatalkannya.

“Bagaimanapun, Rasulullah SAW adalah suri teladan bagi umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita. Maka amat wajarlah kita mengikut sunnah baginda dalam setiap bidang kehidupan terutama dalam ibadat,” katanya.

Tambah beliau, umat Islam diharap sentiasa meluruskan serta merapatkan saf ketika menunaikan solat berjemaah termasuk solat sunat tarawih di bulan Ramadan supaya mendapat pahala yang maksimum.

“Menyamakan dan merapatkan saf tidak wajar diabaikan kecuali di dalam keadaan terpaksa seperti untuk mengelakkan jangkitan penyakit.

Terdahulu, tular gambar di Facebook yang memaparkan keadaan saf wanita yang lompong dan banyak ruang kosong di antara satu sama lain di sebuah masjid – Gambar media sosial, 23 Mac, 2024

“Ketika Covid-19 melanda dunia sebelum ini, umat Islam dikehendaki mematuhi arahan pihak kerajaan supaya melakukan penjarakan fizikal ketika menunaikan solat berjemaah.

“Setelah keadaan kembali normal maka sepatutnya kita menyamakan saf dan merapatkannya semula seperti sedia kala. Semoga segala ibadat kita di bulan Ramadan ini dikabulkan Allah SWT dan mendapat pahala lumayan sebagaimana dijanjikan-Nya,” katanya.

Terdahulu, tular gambar di Facebook yang memaparkan keadaan saf wanita yang lompong dan banyak ruang kosong di antara satu sama lain di sebuah masjid.

Perkongsian tersebut turut mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan jemaah wanita yang mendakwa keadaan itu sudah berlarutan sejak sekian lama. – 23 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Related