KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak merancang untuk melanjutkan pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) yang akan berakhir pada 31 Mac ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Ini kerana, katanya, jadual pelaksanaan penstrukturan semula subsidi pukal yang diumumkan sebelum ini perlu dilaksanakan dan jadual itu perlu dipatuhi.
“Kalau saya ada ruang, sudah tentu akan lanjutkan tapi kalau lanjutkan bermakna kita akan terus menolak garisan masa ke belakang.
“Saya tengok peningkatan pendaftaran, naik sekitar 4 kali ganda dengan kebanyakannya mendaftar sendiri, bukan pergi rumah ke rumah. Orang sudah sedia maklum mengenai Padu, cuma ramai suka minit akhir,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Townhall Bersama Menteri, yang turut disiarkan menerusi live streaming.
Rafizi juga memberitahu, kerajaan setakat ini belum bersetuju untuk berkongsi data dengan pihak swasta kerana data-data berkenaan adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Kalau agensi kerajaan , kami tertakluk bawah OSA. kalau nak mula berkongsi dengan orang ramai, ia akan melibatkan perundangan,’’ katanya.
Mengenai soalan berhubung jaminan keselamatan data-data tersebut, Rafizi berkata sejak Padu dilancarkan sehingga kini, setakat ini rekod masih kekal selamat.
“Kena tengok kepada rekod kebocoran sekarang, dari dilancar 2 Januari hingga 23 Mac, memang ada pelbagai cubaan pecah masuk, nak akses dari tempat tak masuk akal contoh dari alabama, itu semua ada rekod tapi sampai sekarang masih kekal selamat.
“Maklumat dalam Padu memang diberi rakyat Malaysia. Ia boleh diambil dari 300 pangkalan data kerajaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), zakat, Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,’’ katanya.
Ditanya kenapa pendaftaran Padu tidak boleh dikemaskini, Rafizi memberitahu garis masa menyediakan data adalah 31 Mac 2024, justeru jika dibenarkan kemas kini, ia akan menyebabkan perubahan data.
Ini akan menjejaskan data keluarga yang dimuat naik.
“Kita nak tengok kesediaan data sehingga 31 Mac ini dan selepas itu, kerajaan akan buka Padu untuk dikemas kini dari masa ke semasa,’’ katanya. – 23 Mac, 2024