Stoking tertera kalimah Allah: Kertas siasatan lengkap, polis tunggu arahan AGC

Polis menyarankan juga kepada golongan agamawan mengambil sikap ke arah lebih menenangkan keadaan kerana tindakan telah diambil

2:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes penjualan stoking tertera kalimah Allah, dan menyarankan supaya dibuat pertuduhan terhadap pihak yang berkaitan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya kini hanya menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau berkata siasatan itu melibatkan pihak kedai serbaneka KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan vendornya iaitu sebuah kilang yang beroperasi di kawasan perindustrian Sri Gading di Johor.

“Setakat ini 143 laporan (mengenai kes itu) diterima dan 174 saksi telah diambil keterangan termasuk kakitangan serta pemandu lori kedai serbaneka itu, selain 14 pasang stoking yang tertulis kalimah Allah telah dirampas.

“Kita telah menyarankan untuk tuduhan, namun masih menunggu arahan terakhir dan terkini daripada pihak AGC. Sebaik sahaja terima maklumat, kita akan maklumkan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata kes melibatkan KK Super Mart itu memberi kesan kepada rakyat Malaysia beragama Islam selain mendapat reaksi tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan kemurkaan baginda.

“Saya sendiri agak terkesan dengan kes ini, tetapi apabila menyarung pakaian seragam PDRM, siasatan yang dilakukan haruslah mengikut lunas undang-undang,” katanya yang mengingatkan semua pihak agar bersabar dan tidak mengambil tindakan sendiri berkaitan isu itu.

Beliau turut menyarankan kepada golongan agamawan mengambil sikap ke arah lebih menenangkan keadaan kerana tindakan telah diambil dan mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang.

Baru-baru ini video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah Allah tular menerusi media sosial yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Sabtu lepas pengendali kedai rangkaian serbaneka itu memohon maaf susulan video tular penjualan stoking yang tertera kalimah Allah itu di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya. – 22 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related