KUALA LUMPUR – Ucapan ringkas anak lelaki kepada salah seorang aktivis Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia ketika diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Excellence in Audio di 2024 Independent Games Festival (IGF) Awards mendapat perhatian dan tepukan gemuruh para hadirin.
Berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) semalam, Hafiz Azman dari 7th Beat Games yang mencipta Rhythm Doctor menggunakan pentas itu bagi mengenang nasib, jasa dan pengorbanan barisan doktor di Gaza, Palestin.
“Terima kasih ibu bapa saya, maaf saya bukan doktor yang sebenar. Namun sementara kita berada di sini, kami ingin mengingati doktor sebenar di Gaza yang berjuang menyelamatkan nyawa (penduduk Gaza) dalam keadaan yang sangat dahsyat.
“Kalian (doktor) adalah degupan jantung kami,” katanya.
IGF diadakan bersempena Game Developers Conference (GDC) yang berlangsung dari 18 sehingga 22 Mac.
Festival itu memberi tumpuan kepada permainan terbaik yang dicipta oleh pasukan kecil dengan bajet yang rendah.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dalam laman X mengucapkan tahniah kepada Hafiz dan 7th Beat Games atas kejayaan tersebut.
“Tahniah atas kejayaan tersebut dan tahniah kerana menggunakan kesempatan itu untuk memperingati para doktor di Gaza,” katanya.
BDS Malaysia merupakan pertubuhan yang lantang memperjuang nasib penduduk Palestin yang sekian lama dizalimi rejim zionis.
Kempen boikot produk tersebut dilancarkan BDS Malaysia bermula selepas 7 Oktober tahun lalu, apabila gambar askar Israel sedang menikmati hidangan McDonald’s tular di media sosial.
Bagaimanapun, McDonald’s Malaysia, yang beroperasi di sini sejak 1982 berkata, pihaknya sentiasa telus dan konsisten dalam komunikasinya dan tidak menyokong atau membenarkan konflik semasa di Asia Barat.
Operasi McDonald’s di sini dikendalikan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd yang pada 2017 diambil alih sepenuhnya oleh syarikat Reza Group dari Arab Saudi dan rakan kongsi perniagaan tempatan. – 21 Mac, 2024