KUALA LUMPUR – Kurma mentega yang menjadi kegilaan ramai ketika ini diakui ramai sebagai sedap dan sesuai dengan tekak mereka.
Bagaimanapun dalam keghairahan tersebut, aspek kesihatan perlu diambil kira terutama dengan gaya hidup rakyat Malaysia yang tidak aktif.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Facebook menekankan kepada kepentingan pengambilan kurma butter dengan penuh berhati-hati.
Jelasnya gabungan kurma dan mentega membantu memberikan tenaga yang diperlukan namun pengambilannya harus secara sederhana dan tidak berlebihan.
“Ambil dengan kuantiti yang sedikit dan utamakan pengambilan hidangan lebih seimbang, lengkap dengan sumber karbohidrat, protein serta sayur dan buah.
“Ia bukan sahaja dapat memberikan tenaga malah memenuhi keperluan nutrien lain yang diperlukan badan,’’ katanya.
Baru-baru ini, kurma butter atau mentega menjadi tular di media sosial.
Kurma tersebut dibelah dua dan diletakkan mentega di tengahnya.
Ramai yang menyifatkan ia sebagai sedap tetapi pakar perubatan meminta orang ramai mengambilnya dalam kadar sederhana. – 19 Mac, 2024